loading...

Bayi Lelaki Baru Lahir Kuat Menyusu, Normal. Pakar Kata Ia Bantu Rangsang Lebih Penghasilan Susu

Ramai ibu baru melahirkan kehairanan mengapa bayi lelaki yang baru lahir lebih kerap menyusu. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan si ibu keletihan bagi memenuhi keperluannya yang mahu menyusu dalam tempoh yang singkat.

Menurut Pakar Laktasi bertauliah di MilkWithLove Breastfeeding Centre, Ratzuraini Rahim, anda tidak perlu risau jika bayi bangun menyusu dengan kerap kerana ia adalah keadaan normal bagi bayi yang menyusu dengan susu ibu. Jangan membandingkan keadaan ini dengan bayi yang menyusu susu formula yang rata-ratanya tidur nyenyak dan lebih lama.

Apakah bezanya? Teliti fakta ini. Susu ibu lebih mudah dicernakan berbanding susu formula. Ia diserap dan melalui sistem pencernaan bayi dengan lebih cepat, sekali gus menyebabkan bayi kerap berasa lapar. Ia juga disebabkan amaun susu ibu yang dihisap bersesuaian dengan keperluan perut bayi yang masih kecil.

Kebanyakan bayi baru lahir akan menyusu sekurang-kurangnya lapan hingga 12 kali dalam sehari. Kekerapan itu akan membantu merangsang pengeluaran susu ibu yang lebih banyak dalam minggu-minggu pertama kehidupan bayi.

Menjelang usia satu hingga dua bulan, kekerapannya berkurang kepada tujuh hingga sembilan kali sehari. Jadi, anda hanya perlu menyusu mengikut permintaan. Kebanyakannya dalam sela masa satu setengah hingga tiga jam setiap kali.

Jangan sesekali membiarkan bayi baru lahir tidak menyusu melebihi empat jam terutamanya pada waktu malam. Waktu malam adalah masa yang sangat baik untuk menyusu dengan kerap bagi merangsang pengeluaran susu yang lebih banyak. Pada ketika inilah hormon prolaktin berada pada tahap yang paling tinggi.

Enam hingga lapan minggu pertama adalah masa di mana ibu dan bayi membina hubungan. Ada kalanya bayi kerap menyusu disebabkan mahu berada dekat dengan ibu kerana berasa selesa dan selamat.

Kekerapan bayi menyusu sebenarnya baik, bagi mengelakkan masalah payudara bengkak di awal kelahiran. Apabila payudara dikosongkan dengan kerap, ia akan menghantar signal ke otak agar menghasilkan susu yang lebih banyak. Bayi juga berkemungkinan lebih kerap menyusu apabila berada dalam keadaan tidak sihat untuk mendapat lebih banyak antibodi bagi melawan penyakit ketika itu.

Ada kalanya bayi akan mengalami fasa growth spurt di mana keperluan untuk menyusu lebih daripada kebiasaannya. Ia disebabkan oleh perkembangan fizikal seperti mula mengesot, mengiring, meniarap atau berjalan. Ia juga boleh disebabkan oleh perkembangan organ dan mental bayi. Apabila melalui fasa ini, bayi akan lebih kerap menyusu untuk mendapatkan khasiat daripada susu ibu.

Sementara itu pastikan yang lekapan di payudara semasa bayi menyusu adalah betul dalam usaha memastikan kekerapan bayi menyusu bukan disebabkan oleh masalah pengeluaran susu ibu. Jika lekapan mulut bayi tidak betul, ia akan mengakibatkan susu tidak dapat dikeluarkan dengan efisien lalu menyebabkan bayi tidak mendapat susu secukupnya.

Jika berat meningkat secara normal, bilangan lampin basah sekurang-kurangnya enam kali sehari dan bayi ceria dan sihat,  tidak perlu risau tentang kadar pengeluaran susu. Ia adalah satu tanda yang bayi menyusu secukupnya.

Di awal kelahiran, anda mungkin berasa letih untuk memenuhi keperluan penyusuan bayi disebabkan keadaan fizikal selepas bersalin dan masih berusaha menyesuaikan diri dengan rutin harian sebagai ibu menyusu. Cuba untuk ambil masa berehat atau tidur seketika ketika bayi tidur.

Jangan sibuk dengan kerja rumah. Anda perlukan rehat secukupnya supaya kekal sihat untuk menyusukan bayi. Jika ada kerja-kerja rumah yang perlu diselesaikan, minta bantuan suami atau keluarga. Tidur bersama bayi lebih memudahkan anda menyusukan dia. Sentiasa menyusu dalam keadaan tenang tanpa rasa tertekan. Semat dalam minda yang ia adalah perkara normal.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...