loading...

FGV Catat Rugi RM911 Juta

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV), mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai RM911 juta dalam tempoh tiga bulan berakhir September 2018, yang termasuk pelarasan susut nilai berjumlah RM788 juta.

Asian Plantation Ltd menyumbang 65 peratus daripada jumlah susut nilai kumpulan iaitu sebanyak RM513 juta, manakala pengambilalihan FGV Cambridge Nanosystems Ltd pula bernilai RM53 juta, pengambilalihan dua unit kondominium Troika (RM1.22 juta) dan Green Energy (RM102 juta).

Bagi suku dikaji, syarikat perladangan itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM3.19 bilion berbanding RM4.14 bilion pada suku sama tahun lalu.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, berkata dalam suku dikaji, purata harga minyak sawit mentah (MSM) adalah RM2,224 satu tan, iaitu 16 peratus lebih rendah berbanding RM2,665 pada suku sama tahun lalu.

Selain itu, katanya FGV berhasrat untuk meminimumkan peranannya sebagai penjual MSM dan mula meninjau nilai tambah dalam sektor hiliran.

Menurut Azhar, syarikat perladangan itu perlu meneliti secara serius mengenai apa yang boleh dilakukannya dan pada masa sama ia dapat membantu mengurangkan paras inventori komoditi itu.

“Kerajaan memutuskan untuk melihat dan melaksana program B10, sekali gus program itu dapat membantu menurunkan paras bekalan komoditi ini,” katanya pada sidang media prestasi kewangan suku ketiga 2018 FGV di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata FGV mengunjurkan harga MSM mencecah paras RM1,900 hingga RM2,100 satu tan pada 2019.

Beliau berkata, prospek bagi harga MSM akan mengalami sedikit kemerosotan dan trend menurun itu diunjurkan akan berterusan pada awal tahun depan.

Katanya, harga MSM itu juga dilihat akan memberi kesan kepada prestasi kumpulan, bagaimanapun ia dapat diatasi sekiranya produktiviti operasi syarikat dapat ditingkatkan selain kekal berdaya tahan.

“Kumpulan terus komited dengan inisiatif transformasi serta pelan pemulihan bagi meningkatkan produktiviti dan prestasi serta mengurangkan kos.

“Malah, FGV ingin memberi tumpuan kepada peneroka serta pihak ketiga dan berharap ia dapat merangsang lonjakan kepada pengeluaran MSM sekurang-kurangnya 10 peratus,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...