loading...

Jangan Provokasi, Merusuh Pada 8 Disember – Zahid

SUNGAI SIPUT: UMNO mengingatkan ahlinya yang akan hadir pada perhimpunan 8 Disember ini supaya mematuhi peraturan dan tidak melakukan sebarang provokasi, kekacauan atau rusuhan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua peserta perhimpunan yang akan diadakan di ibu negara itu harus mematuhi perkara berkenaan kerana ia adalah sebahagian syarat dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“UMNO akan terus beri sokongan kepada Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang menjadi penganjur kepada perhimpunan itu kerana PAS sudah menyatakan ia sebagai tanda kesyukuran manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan ia sebagai tanda sokongan.

“Sementara, UMNO pula sebagai tanda terima kasih (kepada kerajaan kerana tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)),” katanya pada sidang media selepas program pertemuan pucuk pimpinan UMNO bersama kepemimpinan UMNO negeri di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, seluruh 191 bahagian UMNO seluruh negara akan menghantar peserta ke perhimpunan itu dan sudah memberi pesanan kepada ahli UMNO supaya mematuhi peraturan.

Sementara itu, beliau berkata, selepas melakukan pertemuan dengan 11 pucuk pimpinan UMNO negeri, pihaknya mendapati tiada sebuah cawangan parti pun yang terbubar, malah terdapat lebih banyak permohonan untuk menjadi ahli UMNO berdasarkan rekod daripada Badan Perhubungan UMNO negeri.

Justeru, beliau yakin UMNO tidak akan terbubar jika ada pihak yang mahu memecahkannya secara dari dalam parti.

Katanya, jika ada pihak cuba membubarkan UMNO secara undang-undang, pihaknya mempunyai alternatif lain untuk menentukan semua ahli parti itu dapat berada dan berkumpul dalam satu wadah yang sama.

Previous
Next Post »
loading...