Oleh : Saadah Latib
KUALA LUMPUR: Tindakan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang hanya menjemput beberapa individu dalam perjumpaan untuk menangguhkan Kongres -31 sesuatu yang dilihat janggal.
Presiden Persatuan Bekas Pemain Kuala Lumpur, Dato’ Mohd Irwan Rizal mempersoal perkara itu sambil berkata keadaan itu tidak sepatutnya berlaku.
“Surat penangguhan dari KLFA itu sendiri yang mengatakan perbincangan bersama Datuk Seri Presiden dan hanya beberapa orang jawatankuasa eksekutif.
“Sepatutnya mesyuarat itu dilakukan oleh keseluruhan jawatankuasa eksekutif kemudian baru diputuskan hendak ditangguhkan,” katanya.
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Datuk Zaiton Othman baru-baru ini mengumumkan kongres KLFA yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguhkan.
Perkara ini ekoran memberi ruang kepada proses siasatan lanjut dan pendengaran dilakukan selepas menerima surat bantahan ahli gabungan KLFA yang tidak berpuas hati dengan kaedah pengurusan pelaksanaan kongres yang disifatkan menafikan hak ahli.