loading...

100 Ahli AMANAH Keluar Parti, Cawangan Dibubarkan

MELAKA: Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Cawangan Kampung Paya Rumput Jaya Hilir, Tangga Batu, di sini, bersama-sama 100 ahli jawatankuasa dan ahli mengisytiharkan keluar parti, hari ini.

Tindakan itu bermakna AMANAH Cawangan Kampung Paya Rumput Jaya Hilir secara rasmi turut dibubarkan.

Perkara itu diumumkan Pengerusinya, Jalalludin Mulut selepas dua bulan penubuhan cawangan itu dengan mendakwa tindakan berkenaan susulan krisis dalaman yang berlarutan antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) khususnya membabitkan pemilihan jawatan dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Beliau turut mendakwa, keputusan itu juga dibuat berikutan berlaku campur tangan daripada seorang EXCO kanan kerajaan negeri bagi pelantikan jawatan organisasi berkenaan.

“Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor menghubungi saya untuk memberitahu dan memberi mandat supaya mengambil alih tugas pengerusi MPKK dan ia dipersetujui oleh Ketua Menteri, Adly Zahari.

“Selepas mesyuarat dijalankan dan kerja khidmat masyarakat berjalan lancar, tiba-tiba penyelaras sendiri menyatakan lantikan sebenar terkini adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diiktiraf melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya pada sidang media di Kampung Paya Rumput Jaya Hilir, di sini, hari ini.

Beliau turut kecewa dengan sikap penyelaras yang didakwa takut kepada pemimpin tertinggi kerajaan negeri itu khususnya bagi menangani kemelut yang berlaku, selain menyifatkan tindakan campur tangan daripada EXCO kanan itu sebagai biadab.

“Saya pertikaikan mengapa penyelaras bersikap demikian. Dia berkuasa dalam kawasan tetapi pihak luar melantik (jawatan MPKK). Minta maaf, ini kerana ada campur tangan pihak luar,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...