loading...

Malaysia Tak Boleh Kata Tolak ICERD – Anwar

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan tidak boleh mengumumkan membatalkan cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana Malaysia adalah ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, kaum Bumiputera terutama orang Melayu tidak perlu bimbang kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau sendiri tidak menunjukkan komitmen untuk meratifikasi ICERD.

“Perdana Menteri kata tangguh, saya pun kata tangguh. Jadi tiada langsung kebenaran kerajaan akan laksanakannya seperti didakwa sesetengah pihak.

“Sebab apa kita tak kata batal terus? Sebab ini perjanjian konvensyen di peringkat antarabangsa oleh PBB… kita ahli PBB. 100 negara dah lulus. Kita tak boleh tolak (dengan) sombong begitu sebab kita ahli masyarakat dunia.

“Jadi kita kata kaji, ulas, dengar pandangan dulu. Tapi kita tak boleh tolak ansur dengan status Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera,” katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran kemenangan beliau sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di Kampung Pachitan di sini, malam ini.

Malaysia adalah antara sebahagian kecil negara yang belum meratifikasi konvensyen itu yang antara lain menyediakan mekanisme kepada masyarakat dunia untuk membuat aduan berhubung perkara membabitkan perkauman dan diskriminasi.

Pelbagai pihak membantah ratifikasi ICERD di negara ini kerana dikhuatiri menjejaskan hak golongan Bumiputera termasuk orang Melayu selain Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan.

Previous
Next Post »
loading...