SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini enggan memberi sebarang komen berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad supaya UMNO dibubarkan.
“Tak perlulah saya komen apa-apa,” katanya ketika dihubungi NSTP menerusi WhatsApp di sini, hari ini.
Usaha untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut daripada beliau bagaimanapun tidak dijawab.
Semalam, Dr Mahathir mengakui bahawa beliau telah meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan UMNO kerana parti itu tidak lagi mewakili prinsip dan perjuangan asalnya dan tidak memperjuangkan kepentingan kaum, agama dan negara.
“Secara benar, sudah tiada UMNO cuma satu badan, prinsip perjuangannya sudah tidak ada. Apa perlunya ahli UMNO kekal dalam parti yang sudah tinggal perjuangannya, yang utamakan duit, ‘cash is king’?” katanya.