loading...

6 Jenis Makanan Tak Elok Diambil Ibu Menyusu. Ada Kesan Pada Bayi!

Fakta kata bayi yang minum susu ibu eksklusif kuat sistem ketahanan badannya dan jarang sakit tapi kenapa bayi aku asyik  tak sihat je,” tanya Ayu kepada rakannya.

Jangan terperanjat ya ibu-ibu kalau bayi yang anda susukan dengan susu ibu kerap tidak sihat. Ia sebenarnya bukan salah susu ibu tetapi silap makanan yang dimakan oleh para ibu.

Si kecil bergantung sepenuhnya kepada susu ibu bagi memenuhi keperluan pemakanannya, terutama sepanjang tempoh enam bulan pertama kehidupannya (sebelum makan makanan pejal). Oleh itu apa sahaja yang ibu makan dan minum, akan terus diperolehi oleh bayi ketika dia menyusu dan sudah tentu memberi kesan pada kesihatannya.

Oleh sebab itu ada kebenarannya mengapa orang tua-tua sangat kuat berpesan supaya ibu yang menyusukan anak menjaga pemakanan mereka. Ibu mestilah mengamalkan diet pemakanan yang seimbang. Bukan bermakna ibu tak boleh makan makanan kegemaran mereka tetapi ada sesetengah makanan boleh memudaratkan kesihatan dan perkembangan bayi jika ibu terus memakannya semasa menyusukan bayi.

Mungkin ibu sendiri boleh buat senarai apa makanan yang tidak sesuai diambil sepanjang menyusukan bayi. Hanya mereka yang tahu apa tindak balas makanan itu kepada bayi yang disusukan.

Berikut antara makanan yang mesti dielakkan sepanjang ibu menyusukan bayi.

1. Makan terlalu banyak buah-buahan sitrus

Lemon,limau, oren dan limau gedang antara buah-buahan sitrus yang terkenal. Ia boleh mengganggu sistem gastro-usus dan salur penghadaman bayi yang belum matang. Bayi yang sensitif terhadap buah sitrus dalam susu ibu mungkin mudah mengalami ruam lampin. Sebaiknya ibu makanlah buah-buahan tropikal yang lain seperti mangga, jambu batu atau epal.

2. Makanan laut dengan kandungan tinggi merkuri

Tahap merkuri yang tinggi dalam makanan laut seperti ikan yu, todak dan tenggiri akan menjejaskan otak dan sistem saraf bayi. Pilih makanan laut yang rendah kandungan merkuri seperti udang, salmon, tuna dalam tin dan ikan air tawar.

3. Memakan makanan yang diketahui menyebabkan alahan

Bayi mungkin akan mengalami alahan yang sama sehingga sakit perut, mempunyai masalah tidur, atau gatal-gatal, ruam, ekzema atau pernafasan yang berbunyi. Jadi, awasi apa makanan yang menyebabkan anda alahan.

4. Minum alkohol

Ia bukan sahaja dilarang dalam Islam tetapi juga boleh dirembeskan dalam susu ibu dan memberi kesan buruk kepada bayi.

5. Mengambil minuman berkafein

Minuman berkafein seperti kopi, teh, minuman ringan, minuman tenaga dan minuman bercoklat sangat tinggi kandungan kafeinnya. Ia boleh dirembeskan ke dalam susu ibu dan menyebabkan gangguan tidur kepada bayi.

6. Mengambil suplemen diet

Ini bukan masa yang sesuai lagi untuk ibu mengambil sebarang suplemen diet. Apabila ibu mengambil suplemen diet seprti menjadikan minuman berfiber bagi menggantikan sarapan pagi maka secara langsung anda telah mengurangkan zat semula jadi dalam badan.

Walaupun suplemen itu memberi jaminan ia selamat untuk ibu menyusu tapi jangan lupa yang susu ibu sangat berkhasiat dengan nutrisi melalui pengambilan makanan ibu sendiri. Jadi, apabila makanan tersebut digantikan dengan suplemen semata-mata maka khasiat sebenar susu ibu akan berkurangan dan dibimbangi memberi kesan kepada penghasilan susu ibu di masa akan datang.

Maka, ibu-ibu menyusu kena banyak bersabar dan berkorban ‘melupakan’ seketika makanan kegemaran mereka sekiranya makanan tersebut memberi kesan tak baik kepada bayi yang disusukan.

Sumber: drzubaidi.com

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...