loading...

Bukan Sebab Ahli UMNO – Tun M

PUTRAJAYA: Tindakan pendakwaan oleh agensi penguatkuasaan ke atas pemimpin-pemimpin UMNO bukan kerana mereka dari parti Melayu itu namun kerana mereka telah melakukan jenayah.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, terdapat beribu kes rasuah berlaku ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

“Kita mempunyai beribu kes hasil pemerintahan Najib. Kita tidak boleh buat 1,000 kes dalam satu hari, kita tumpu kepada yang besar-besar sahaja dan yang besar-besar ini kebanyakannya membabitkan UMNO.

“Sebab itu kita ambil tindakan terhadap orang ini dan bukan kerana dia UMNO, tapi kerana dia lakukan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Beliau mengulas persoalan sama ada kerajaan membuat pendakwaan berpilih berikutan hanya pemimpin UMNO yang didakwa dengan kes rasuah dan bukan pemimpin atau ahli dari parti lain seperti MCA, MIC atau Gerakan.

Ditanya mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene, Dr. Mahathir berkata, suruhanjaya itu berhak melihat semula kes itu jika mempunyai bukti mencukupi.

“Kalau ada bukti dan keraguan (hanky panky) dalam pembelian kapal selam itu. Tetapi kerajaan ini belum mendapat laporan serius tentang rasuah,” katanya.

Namun begitu, ketika ditanya sama ada beliau sendiri menyedari kes itu disiasat kembali, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak menyedari perkara itu.

Isnin lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke ibu pejabat SPRM di sini bagi memberi keterangan berhubung kes terbabit.

Pembelian dua kapal selam Perancis itu dilakukan pada 2002 ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Najib menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, bernilai hampir STG1 bilion (AS$1.17 bilion).

Sementara itu ditanya sama ada beliau menyedari berkaitan dakwaan lapan daripada sepuluh kontrak di bawah sebuah kementerian diberikan secara terus dan dakwaan juga menyebut anak kepada menteri berkenaan terbabit, Dr. Mahathir memberitahu, dakwaan itu akan disiasat SPRM.

Previous
Next Post »
loading...