loading...

Dr Noor Azmi, 4 Senator Sertai BERSATU

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali hari ini sah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas lima bulan menjadi wakil rakyat Bebas.

Beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menerima kad keahlian daripada Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain Dr Noor Azmi, empat lagi Senator turut menyertai BERSATU iaitu Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Seri Khairudin ES Abd Samad; Bendahari Majlis Senator Malaysia, Datuk Suhaimi Abdullah; wakil Orang Asli, Isa Ab Hamid dan wakil Orang Siam, Aknan Ehtook.

Dr Mahathir pada sidang media berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan Dr Noor Azmi dan empat Senator terbabit ke dalam BERSATU.

“Kita tiada majoriti dua pertiga. Kadang-kadang apa yang kita nak buat, tersekat. Kita tidak boleh nak tumpukan pada apa yang kita janjikan sebab perlu dua pertiga undi.

“Kemasukan ahli-ahli baharu ini, kita boleh dapat angka yang diinginkan dan syarat kepada mereka adalah menjadi ahli selama setahun tidak boleh memegang apa-apa jawatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, kemasukannya ke dalam BERSATU sudah lama difikirkan dan hari ini menjadi kenyataan.

“Hari ini saya berasa sangat bertuah kerana dapat dua ‘B’ iaitu dapat masuk ke BERSATU dan ‘Birthday’ sebab hari ini adalah hari jadi saya ke 57 tahun,” katanya.

Penyertaan Dr Noor Azmi itu menjadikan BERSATU memiliki seramai 15 Ahli Parlimen selepas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai parti itu pada 27 Oktober lalu.

Ditanya mengenai krisis membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang didakwa tidak mendapat kepercayaan EXCO negeri itu, Dr Mahathir berkata, Ahmad Faizal masih lagi Menteri Besar yang sah.

“Setakat yang saya tahu, Ahmad Faizal masih lagi Menteri Besar,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...