Kejadian tidak diingini kepada bayi memang banyak terjadi akhir-akhir ini. Saranan yang diutarakan oleh bapa ini elok dijadikan panduan untuk mama papa yang bercadang mencarikan pengasuh untuk anak.
Akhir-akhir ini pelbagai kes dera bayi yang terjadi di rumah pengasuh atau ketika dalam jagaan pengasuh. Tersayat hati membaca kisah-kisah penderaan fizikal dan seksual yang dilakukan oleh pelaku yang tidak bertanggungjawab.
Tidak dinafikan pengasuh mempunyai jasa yang sangat besar membantu ibu bapa dengan menjaga anak-anak sementara ibu bapa keluar bekerja. Malah ada yang penyayang dan menjaga anak asuhan seperti anak sendiri.
Dalam setandan pisang, tidak semuanya busuk dan tidak semuanya elok. Apa yang terjadi sudah pun terjadi. Ambil iktibar daripada apa yang terjadi dalam kes penderaan bayi sebelum ini & berusaha untuk mengelakkan perkara yang buruk terjadi di masa hadapan.
Perkongsian daripada bapa ini , Mohd Fadli Salleh tentang pemilihan pengasuh boleh dijadikan panduan kepada ibu bapa yang lain.
10 perkara yang mustahak ini perlu diteliti sebelum mengambil keputusan untuk mengupah pengasuh. Berikut ialah perkongsiannya.
10 TIP PEMILIHAN PENGASUH
Negara kecoh lagi bila seorang bayi berusia 11 bulan mati didera dan dirogol bangsat yang tidak berperikemanusiaan.
Aku cuba mengelak menulis hal ini kerana tak sanggup nak membayangkan penderitaan anak kecil usia 11 bulan didera sebegitu rupa.
Cuma, sangat perlu aku berkongsi tips yang betul untuk mengelakkan kejadian ini dari berulang di masa hadapan. Ini tips yang aku syorkan.
#1 PILIH SAUDARA & RAKAN RAPAT DULU
Pilih adik-beradik, saudara mara atau kawan-kawan rapat terlebih dahulu untuk dijadikan pengasuh. Kita kenal peribadi mereka, kita tahu bagaimana mereka jaga anak-anak kita.
Paling tidak, pilih pengasuh yang disyorkan oleh adik-beradik atau kawan-kawan kita.
#2 ELAK PILIH PENGASUH YANG ADA SUAMI TAK BEKERJA
Elakkan hantar ke rumah pengasuh yang mempunyai suami tidak bekerja atau ada rekod dadah/jenayah.
Kebanyakan kes dera/rogol dari suami pengasuh yang ada rekod dadah/jenayah atau kerja tidak tetap.
Ini menyebabkan mereka punya masa luang dengan anak kita dan kadangkala pengasuh tinggalkan anak kita bersama suami bila nak mandi, solat atau ke klinik mahupun ke pasar.
Saat ini risiko besar terutama jika suami pengasuh dibawah pengaruh dadah. Anak kecil kita mereka mungkin pandang sebagai satu alat yang boleh memuaskan nafsu atau satu alat melepaskan geram bila anak itu meragam, berak dan sebagainya.
#3 ELAK PILIH PENGASUH YANG ADA ANAK LELAKI REMAJA
Elakkan memilih pengasuh yang ada anak lelaki remaja. Seboleh-bolehnya cuba elak.
Banyak sangat kes berlaku anak lelaki remaja pengasuh merogol budak perempuan usia 4-10 tahun.
Budak-budak itu anggap anak pengasuh bagai abang mereka, pengasuh pula biarkan anaknya bermain dengan anak jagaannya hingga ke bilik. Pernah dilaporkan anak usia 5 tahun dirogol anak pengasuh berusia 15 tahun.
“Abang(anak pengasuh) ajak main tidur-tidur. Kemudian dia buka seluar adik dan suruh pejam mata.”
Lepas itu berlaku peristiwa hitam dan terus berulang dan berulang jika tiada orang perasan dan tiada laporan dibuat.
#4 SIASAT DULU LATAR BELAKANG PENGASUH
Siasat latar belakang pengasuh. Sangat penting kita tahu latar belakang pengasuh. Jumpa juga ibubapa yang pernah hantar anak mereka untuk diasuh pengasuh tersebut. Tanya pengalaman ibubapa yang pernah hantar anak ke sana.
#5 JELASKAN APA DO’S & DON’TS TENTANG ANAK KITA KEPADA PENGASUH
Bagitahu secara jelas kepada pengasuh DO and DON’T. Apa peraturan kita, bagaimana perlu anak kita dijaga, siapa yang boleh tukar lampin/mandikan anak kita.
Masa ini kena bertegas, anak perempuan kita hanya pengasuh yang mandikan dan tukar lampin. Jangan benarkan anak kita dimandikan/tukar lampin oleh anak lelaki pengasuh atau suaminya.
#6 BUAT SPOT CHECK
Lawatan mengejut. Sangat penting sesekali buat lawatan mengejut. Kalau biasa hantar jam 7 pagi dab ambil pukul 5 petang, lawat sahaja jam 10 pagi, sesekali singgah tengahari.
Bila buat lawatan mengejut, masuk dan lihat situasi rumah juga. Tempat tidur anak, bilik air, dapur dan ruang tamu.
#7 TANYA ANAK
Selalu berkomunikasi dengan anak (bagi anak yang pandai bercakap). Tanya mereka bagaimana mereka dijaga, siapa yang selalu main dengan mereka, dengan siapa mereka mandi, dengan siapa mereka tidur.
Kena alert setiap perubahan sikap anak-anak kita. Jika makin mendiam atau sakit ketika buang air, lebih baik menanam curiga. Check, siasat, bawa jumpa doktor jika perlu.
#8 PERIKSA TUBUH ANAK
Periksa tubuh badan anak selalu. Jika ada kesan lebam, calar dan sebagainya tolong siasat betul-betul. Jangan percaya 100% pada alasan pengasuh.
#9 JIKA ADA TANDA-TANDA MENCURIGAKAN, BUAT LAPORAN POLIS SEGERA
Jika ada tanda-tanda anak didera, dirogol dan sebagainya, tolong buat laporan polis dengan segera.
Ramai yang terkena tidak buat laporan polis kerana kasihan dan simpati dengan rayuan keluarga pengasuh. Mereka hanya selamatkan anak-anak mereka sahaja.
Dan akhirnya, anak orang lain pula menjadi mangsa. Tolong jangan penting diri dan selamatkan anak-anak sendiri saja ya!
#10 JANGAN TANGKAP MUAT
Jangan tangkap muat cari pengasuh kat Fb sahaja. Jika pun cari di Fb, wajib siasat betul-betul sebelum hantar anak.
Sebaiknya, hantarlah anak kat taska yang berdaftar. Itu yang sebaiknya.
Jika ada orang kata cerewet cara kita pilih pengasuh, biar sahaja mereka terus berkata begitu.
Kerana itu anak-anak yang sangat kita sayangi dan kita berhak sepenuhnya memberi yang terbaik buat mereka.
Buat Baby Zara, damailah dikau di sana..
Sumber: Mohd Fadli Salleh