loading...

6 Kertas Siasatan Menunggu Azeez

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedang menyiapkan sekurang-kurangnya enam kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sumber berkata, Azeez dijangka dipanggil dalam masa terdekat bagi membolehkan SPRM melengkapkan sebahagian siasatan terhadapnya, membabitkan dana Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Tabung Haji serta mengambil komisyen dari sebahagian projek kerajaan sebelum ini.

Sumber berkata, enam kertas siasatan berkenaan termasuk ketika beliau ditahan reman selama 10 hari pada 25 September lalu.

“Terdapat banyak isu dan siasatan yang perlu dilakukan terhadap beliau dan pihak SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan ke atas Azeez termasuk memanggilnya semula berhubung beberapa perkara dalam siasatan.

“Antara isu berkenaan adalah siasatan terhadapnya yang disyaki melantik beberapa syarikat mempunyai kaitan dengan saudara-mara serta kenalannya untuk menjadi pembekal barangan bagi projek-projek KP1M sama ada di dalam atau di luar negara,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, Azeez yang juga pengerusi KP1M, adalah individu penting dalam siasatan kes berkenaan, namun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai butiran siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan kes berkenaan sebelum melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pejabat Peguam Negara.

“Kita pernah menahan reman beliau sebelum ini selama 10 hari dan siasatan ini adalah membabitkan kes berkenaan serta beberapa kes lain,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...