loading...

Mama Kena Peka 3 Tanda Awal Bersalin. Kalau Dah Ada Cepat-Cepat Ke Hospital!

Apakah tanda-tanda bersalin? Kadang kala mama terlepas pandang dan menganggap ia perkara biasa. Ketahui 3 tanda yang mama boleh lihat yang menunjukkan proses kelahiran bakal bermula.

Kebanyakan ibu akan mula merasai debaran bila tarikh jangkaan bersalin semakin hampir. Orang kata tanda-tanda waktu untuk bersalin semakin hampir bila perut ibu mula merasai kontraksi palsu. Lebih mendebarkan lagi jika ia adalah kehamilan pertama. Sebenarnya apakah tanda-tanda bersalin yang menunjukkan kita perlu segera ke hospital?

Menurut Dr Siti Esah, setiap wanita mempunyai tanda-tanda bersalin yang berbeza. Pun begitu, terdapat tiga petanda penting yang dikaitkan dengan fasa bersalin yang perlu diambil perhatian iaitu:

#1 Show

Show bermaksud keluarnya sesuatu seperti lendir atau darah dari faraj. Lendir dan darah ini adalah mucus plug atau penutup pangkal rahim yang terbuka untuk proses kelahiran.

Selalunya pada saat ini si ibu akan berasa kontraksi ringan dan akan mengambil masa selama tiga hingga empat hari sebelum proses bersalin aktif.

#2. Air ketuban pecah

Ini juga petanda yang tidak boleh diambil mudah. Keluarnya air ketuban dalam jumlah yang banyak atau ada kalanya sedikit-sedikit merupakan tanda anda akan bersalin tidak lama lagi.

Air ketuban boleh dibezakan dengan air kencing melalui sifatnya yang tidak berwarna dan berbau hanyir. Sekiranya air ketuban tersebut berwarna hijau, ia adalah petanda kurang baik kerana si kecil sudah membuang air besar di dalam kandungan.

Wanita yang pecah ketuban perlu melahirkan dalam masa 24 jam walaupun kontraksi yang dirasakan tidak berturutan.

#3 Kontraksi

Kontraksi iaitu proses penegangan pada otot rahim secara kerap dan ritma tertentu. Sekiranya kontraksi yang dirasai setiap 10 minit sekali secara konsisten dalam masa sejam, mama perlu segera ke hospital kerana ia adalah salah satu tanda bersalin.

Bagi mengenal pasti kontraksi tersebut bukan kontraksi palsu atau Braxton Hicks atau false alarm, cuba cara ini. Baring secara mengiring dan letakkan tapak tangan pada perut semasa kontraksi sambil mengira jarak masa antara permulaan dua kontraksi. Kontraksi bersalin berterusan walaupun anda dalam keadaan rehat dan relaks.

ALAMI TANDA-TANDA BERSALIN SEBELUM MINGGU KE-37

Awas! Sekiranya tanda-tanda ini berlaku sebelum minggu ke-37, ia dikira sebagai kelahiran pramatang. Anda perlu peka dan segera ke hospital jika tanda-tanda bersalin terjadi sebelum minggu ke-37 kerana risiko berlaku komplikasi kepada ibu dan anak adalah tinggi.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...