loading...

Belanjawan Tumpu Pulih Keyakinan, Mensejahtera Rakyat

KUALA LUMPUR: Belanjawan sulung bagi pentadbiran baharu bermatlamat untuk memenuhi aspirasi rakyat demi Malaysia baharu.

Kerajaan akan menggunakan asas ekonomi yang kukuh untuk memakmur dan mengembalikan zaman kegemilangan negara dalam tempoh tiga tahun pertama pentadbiran meskipun terdapat pelbagai cabaran pada peringkat dalaman dan luaran.

Selari dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11, tumpuan segera adalah memulihkan semula keyakinan terhadap kerajaan, mewujudkan negara keusahawanan dan mensejahterakan rakyat.

Usaha akan dipertingkat untuk menangani defisit kepercayaan rakyat, profesional, pihak swasta dan awam terhadap pentadbiran kerajaan.

Tumpuan segera diberikan bagi menangani isu berstruktur dan dasar yang menghalang negara untuk terus maju. Justeru, prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT) akan diguna pakai pada setiap peringkat kerajaan.

Belanjawan 2019 akan memperkenalkan beberapa langkah untuk memperkukuh tadbir urus, memperluas asas hasil negara, menambah baik pengurusan fiskal dan perolehan kerajaan serta menyusun semula peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Selain itu, kementerian dan agensi akan diperkemas bagi mengelak pertindihan peranan dan fungsi.

Menerusi inisiatif mewujudkan negara keusahawanan, laporan itu berkata Dasar Pensyarikatan Malaysia akan diperkasakan bagi menggalakkan keusahawanan dan pembabitan sektor swasta dalam kegiatan ekonomi dan pembangunan secara keseluruhan.

Dasar ini dijangka mencetuskan versi baharu kerjasama awam swasta (PPP) untuk menggalakkan pelaburan dan keusahawanan dalam negara. Dalam aspek ini, pendekatan tukar ganti tanah di bawah PPP akan disemak semula iaitu memisahkan penjualan tanah daripada pembangunan tanah. Penjualan dan pembangunan tanah akan dilakukan secara tender terbuka.

Ekonomi Malaysia mestilah berasaskan kepada tahap kecekapan dan teknologi paling tinggi. Firma terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu berhenti daripada berasa terlalu selesa dan mengejar keuntungan jangka masa pendek serta kurang melakukan pelaburan untuk masa hadapan.

Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) jangka masa panjang dalam pelaburan hijau yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan menghasilkan ekosistem yang mampan.

Pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan akan dipacu oleh teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet untuk segala-galanya (IoT), pengkomputeran awan dan analisis data raya yang menggariskan potensi ekonomi digital bagi memastikan peralihan Malaysia kepada negara maju dan inklusif.

Belanjawan 2019 juga mengambil pendekatan untuk menambah baik kesejahteraan rakyat menerusi pengurangan beban kos hidup dan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat khususnya B40 dan M40.

Justeru, kerajaan akan meneruskan Bantuan Sara Hidup dengan pendekatan yang lebih bersasar. Usaha lain ialah latihan semula kemahiran, peningkatan kemahiran dan tenaga kerja mahir kepada pekerja sedia ada.

Bagi isu kesihatan, perolehan perubatan akan dijalankan melalui tender terbuka bagi memastikan nilai faedah terbaik untuk kerajaan. Selain itu, usaha untuk menyediakan jaringan pengangkutan awam yang komprehensif di luar Lembah Klang dan kawasan bandar akan ditambah baik selaras dengan pembangunan pesat negara menjadi pilihan.

Dari aspek pendidikan tinggi, tumpuan diberikan untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah melalui program peningkatan kemahiran; memupuk sifat dan sikap yang baik; menggalakkan pemikiran kreatif; penyelesaian masalah dan komunikasi berkesan.

Aspek perumahan mampu milik pula, kerajaan akan terus memperluas program Perumahan Rakyat, Program Perumahan Rakyat Disewakan dan Program Perumahan Rakyat Bersepadu. Tumpuan lain adalah menggalakkan institusi kewangan menyediakan lebih banyak pinjaman untuk pemilikan kediaman selain program baharu untuk memenuhi permintaan terhadap rumah mampu milik.

Kesimpulannya, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar 4.9 peratus pada 2019 disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan sektor luar yang menggalakkan.

Previous
Next Post »
loading...