Memberi makan bayi baru lahir adalah cabaran besar kerana keperluan pemakanan mereka berubah mengikut masa. Anda perlu memberi perhatian kepada setiap perubahan kecil dalam bayi anda dan memastikan bahawa makanan yang anda sediakan untuknya adalah berkhasiat dan sesuai untuk setiap fasa hidupnya.
Sekiranya anda masih bingung sama ada patut mulakan makanan pertama bayi atau makanan pejal sekarang atau tidak, ikuti perbincangan lanjut ini. Semoga artikel ini dapat memberikan maklumat berguna untuk membantu anda menentukan adakah si manja anda telah bersedia untuk makanan pertama bayi.
Bilakah masa terbaik untuk memperkenalkan makanan pejal kepada bayi?
Makanan pejal boleh diperkenalkan kepada bayi anda sewaktu 4 atau 6 bulan pertama dalam hidupnya. Sebelum itu, susu ibu dan susu formula mencukupi untuk membekalkan jumlah pemakanan dan kalori yang diperlukan anak anda. Selama beberapa bulan pertama, sistem pencernaan anak anda masih belum cukup berkembang. Oleh itu, pepejal atau sebarang jenis makanan lain adalah dilarang.
Selain itu, menurut American Academy of Pediatrics, anda hanya patut memperkenalkan bayi anda kepada makanan pejal selepas enam bulan pertama.
Petunjuk menunjukkan bayi anda sudah bersedia
Walau bagaimanapun, jika anda ingin anak anda merasakan makanan pejal lebih awal daripada itu, anda boleh memerhatikan tanda-tanda kesediaan berikut. Bayi anda mungkin tidak menunjukkan semua petanda sekaligus, tetapi ini hanyalah sekadar petunjuk untuk perhatian anda:
- Dapat mengawal gerakan kepala. Bayi anda patut mampu menjaga kepalanya dalam kedudukan tegak dan mantap tanpa bantuan orang dewasa atau penjaga.
- Tidak lagi mempunyai refleks tujah lidah. Jangan tawarkan makanan pejal kepada bayi jika dia terus menolak makanan pejal daripada mulutnya secara automatik.
- Boleh duduk dengan tegas dan mantap tanpa bantuan orang dewasa. Bayi anda perlu berupaya berada pada posisi duduk untuk mengunyah dan menelan dengan betul.
- Gerakan mengunyah. Apabila bayi anda semakin membesar, mulut dan lidahnya berkembang selari dengan satu sama lain. Oleh itu, untuk mula makan pepejal, bayi anda perlu tahu cara menggerakkan makanan ke dalam mulut dan menelannya. Sebaik sahaja bayi anda terbiasa makan makanan pejal, anda mungkin akan mendapati bahawa air liurnya tidak lagi meleleh.
- Peningkatan berat badan dengan ketara. Kebanyakan bayi boleh makan makanan pejal apabila mereka bertambah dua kali ganda daripada berat sewaktu kelahiran dan sekurang-kurangnya lebih tua daripada 4 bulan.
- Semakin berselera. Bayi anda seolah-olah makan lebih banyak, walaupun anda memberikan lapan atau sepuluh penyusuan susu ibu atau susu formula sehari.
- Tertarik dengan makanan anda. Anda mungkin mendapati bayi anda melihat apa yang anda makan dan meminta atau menjangkau tangannya untuk mengambil makanan tersebut dan memasukkannya ke dalam mulut.
Waktu memperkenalkan bayi anda kepada makanan pepejal bergantung kepada anda dan keperluan anak anda. Jika bayi anda ingin mencuba rasa baru, tetapi dia terlalu muda daripada usia yang sesuai, hubungi doktor anda untuk nasihat dan maklumat lanjut.
Sumber: Hello Doktor