loading...

Stres Masa Hamil Boleh Buat Bayi Kerap Menangis Dan Mungkin Boleh Berlarutan Hingga Umur 2 Tahun

Membesarkan seorang insan baru di dalam rahim kita bukanlah tugas yang mudah. Walaupun wanita bukan pertama kali melaluinya, mereka tetap akan berhadapan dengan pelbagai masalah yang berbeza dengan kehamilan pertama. Maka, stres dan pergolakan emosi tentu akan berlaku dari semasa ke semasa.

SEJAUH MANAKAH KESAN STRES TERHADAP BAYI DALAM KANDUNGAN?

Sebenarnya, kerisauan adalah perkara normal dan ia tidak mungkin dapat dielakkan sepenuhnya dalam hidup kita. Namun begitu, sekiranya perasaan ini semakin mendalam dan berlaku dengan terlalu kerap, ia dikhuatiri dapat memberi kesan kepada bayi dalam kandungan.

Berikut adalah antara kesan stres terhadap kandungan dan kesihatan ibu mengandung.

1. JANTUNG BERDEGUP KENCANG

Apabila anda stres, tubuh anda akan menghantar isyarat tertentu kepada tubuh dan merembeskan hormon stres. Hormon ini akan menyebabkan otot dan jantung berdegup lebih kencang.

Sekiranya anda boleh mengendalikan stres tersebut dengan baik, respon ini akan semakin perlahan sehinggalah organ tubuh anda kembali bekerja dalam keadaan normal. Kesan stres buat jangka masa panjang adalah tidak sihat kepada tubuh, di mana ia tidak kembali kepada keadaan normal.

2. SISTEM PENGENDALIAN STRES TUBUH TERGANGGU

Apabila emosi yang dilalui tidak dapat dikendalikan oleh sistem pengendalian stres tubuh, ia akan menyebabkan seseorang melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.

Selain itu, ia juga boleh mencetuskan rangsangan negatif terhadap kesihatan tubuh seperti keletihan, gangguan emosi, dan lebih cenderung terkena jangkitan atau penyakit.

3. KESIHATAN BAYI DALAM KANDUNGAN TERJEJAS

Menurut laman kesihatan Web MD, situasi seperti ini telah dikaitkan dengan masalah seperti kelahiran bayi yang kurang berat dan juga kelahiran pra matang.

Menurut sebuah lagi kajian, bayi seawal usia 17 minggu boleh terdedah kepada stres yang dirasakan oleh ibu mengandung.

4. BAYI MENJADI MUDAH STRES

Dalam sebuah laporan oleh News Week, pakar mendapati bahawa bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang mengalami stres yang tinggi sepanjang kehamilan turut ‘mewariskannya’ kepada bayi. Bayi yang dimaksudkan ini memperlihatkan sensitiviti yang lebih tinggi terhadap stres berbanding bayi normal.

Malah, bayi-bayi ini turut dipantau sehingga berusia 2 tahun, di mana mereka turut mempamerkan kecenderungan untuk berasa risau, takut, dan gelisah. Semasa diuji di dalam makmal dengan sebiji bola, anak kecil yang normal akan bermain bola tersebut dan tidak begitu kekok terhadap orang yang tidak dikenali. Sebaliknya, anak kecil yang dilahirkan oleh ibu yang memiliki kadar kortisol yang tinggi (sering stres) didapati akan berdiri keresahan di tepi dinding atau berlari balik kepada ibu masing-masing.

5. MEMBERI KESAN TERHADAP IQ

Dalam sebuah pemerhatian lain yang dilaporkan melalui The Guardian, 100 orang bayi dan anak kecil yang terdedah kepada stres melampau ketika dalam kandungan dinilai IQ mereka. Hasilnya, IQ mereka adalah 10 poin di bawah purata dan kebanyakan daripada mereka memiliki kadar stres yang tinggi sehingga mengalami masalah kurang fokus.

Dalam pemerhatian tersebut, ibu-ibu yang mengalami stres kebanyakannya adalah disebabkan masalah dalam hubungan rumah tangga.

STRES BOLEH MENGANCAM HUBUNGAN ANTARA IBU DAN BAYI

Selain daripada kesan di atas, kesan stres juga mampu mengancam hubungan antara ibu dan bayi yang telah lahir. Seperti yang kita tahu, bayi baru lahir memerlukan begitu banyak masa dan perhatian daripada seorang ibu. Maka, tentu sukar untuk fokus terhadap penjagaan bayi sekiranya ibu sendiri sering mengalami masalah yang membahayakan kesihatan diri.

Memandangkan kesannya yang serius, pasangan perlulah memainkan peranan yang proaktif dalam membantu menguruskan emosi isteri yang hamil. Bantulah menyediakan keselesaan dan berilah sokongan kepada mereka dari segi emosi, fizikal, dan rohani walaupun mereka tidak pernah memintanya daripada anda.

Sumber: zuriat.my

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...