loading...

Susu Tiada Langsung Selepas Bersalin, Apakah Bayi Kelaparan? Realiti Penyusuan Selepas Kelahiran

Susu tiada selepas bersalin adalah persoalan yang selalu bermain di fikiran mama selepas bersalin. Soalnya benarkah susu benar-benar tiada?

Semua wanita  bergelar IBU yang normal pasti mempunyai impian untuk menyusukan sendiri bayi mereka. Kerana ia merupakan hadiah pertama paling berharga dan terbaik buat yang tersayang.

Menurut Kaunselor Laktasi, Noorfazila Abdul Rahman, susu ibu dicipta oleh Allah swt sebagai rezeki yang perlu disalurkan kepada anak melalui si ibu. Kebiasaannya ramai ibu terutama yang pertama kali melahirkan anak seakan hilang arah dan tiada panduan bagaimana dan apa yang perlu dilakukan sejurus selepas melahirkan bayi.

KURANG SOKONGAN & ILMU

Biasanya mereka memang bersungguh-sungguh untuk menyusukan anak sepenuhnya dengan susu ibu tetapi dek kerana kurang sokongan dan ilmu berkenaan ini membuatkan mereka keliru apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Saya sungguh-sungguh tidak mahu perkara begini berlaku dan akhirnya membuatkan ibu dengan mudah percaya yang mereka TIADA SUSU dan tak mampu menyusukan anak sedangkan apa yang sepatutnya mereka lakukan tidak mereka lakukan.

SOKONGAN PADU DARI SUAMI DAN PERSEKITARAN

Ramai ibu beranggapan penyusuan merupakan suatu perkara yang mudah dan susu akan keluar dengan banyak sejurus selepas melahirkan sedangkan realitinya bukan lah seperti itu. Bukan mudah untuk menjayakannya jika tiada sokongan padu dari suami dan persekitaran. Kerana penyusuan bukan sahaja tanggungjawab seorang ibu malah tanggungjawab seorang ayah.

Saya terpanggil untuk menulis artikel ini, bila berdepan dengan situasi konflik seperti ini terutama bila melibatkan suatu tragedi sehingga meragut nyawa. Sebagai seorang ibu yang bersungguh-sungguh mahu menjayakan penyusuan susu ibu, ibu bapa seharusnya mula membuat persediaan awal sebelum kelahiran anak lagi.

MENCARI ILMU PENYUSUAN

Apa yang dimaksudkan dengan persediaan awal ini ialah mencari maklumat dan memenuhkan dada dengan ilmu penyusuan sebanyak yang boleh. Perkara utama yang perlu diketahui adalah bagaimana dan bila sebenarnya susu telah mula terhasil dan tersedia di dalam payudara ibu?

  1. Susu tidak ada langsung selepas bersalin, apakah baby kelaparan?
  2. Kolustrum, bilakah waktu yang boleh ibu berikan kepada bayi?

IA TERBENTUK SEJAK AWAL

Ramai ibu tidak menyedari dan tidak tahu yang sebenarnya badan ibu telah bersedia menghasilkan susu sejak dari peringkat awal kehamilan. Ianya dikenali sebagai Fasa Memogenesis yang berlaku sekitar minggu ke 7 atau ke 8 kehamilan. Seterusnya apabila kandungan masuk ke trimester kedua sekitar 16 – 24 minggu proses penghasilan susu (Laktogenesis 1) untuk menghasilkan kolostrum telah pun bermula.

Ini bermakna sejak dari  kandungan lagi payudara ibu telah pun menghasilkan susu! Hebatnya ciptaan Allah swt ini kerana Dia sediakan susu seawal usia kandungan 24 minggu kerana pada waktu ini ada bayi yang dilahirkan pramatang. Jadi walaupun ibu bersalin pramatang, ibu tetap mampu menyusukan anak dan tetap ada rezeki susu ibu buat si bayi.

Kolostrum merupakan susu pertama yang sangat berharga dan perlu diperolehi oleh bayi sebanyak yang boleh kerana di dalamnya terkandung banyak manfaat di antaranya zat antibodi yang disebut immunoglobulin. Selain terdapat antibodi, di dalam kolostrum terdapat faktor-faktor pertumbuhan yang berfungsi untuk menyempurnakan pertumbuhan dan perkembangan manusia dari bayi hingga dewasa.

SUSU TIDAK ADA SELEPAS BERSALIN?

Benarkah susu tiada langsung selepas bersalin? Jawapannya tidak benar! Setiap ibu yang melahirkan anak sudah mempunyai susu di dalam payudaranya kerana penghasilan kolostrum sudah bermula sejak 16 minggu usia kandungan cuma paras hormon ibu yang berbeza membuatkan ada ibu yang sudah mula keluar susu sejak sebelum melahirkan dan ada ibu yang hanya keluar pada hari ke 2-3 anak dilahirkan.

Jadi, untuk meningkatkan paras hormon prolaktin ini, rangsangan dari hisapan bayi sangat diperlukan terutama pada jam-jam pertama kelahiran. Sebab itulah ibu perlu mendapatkan anak secepat yang boleh untuk disusukan supaya proses pengeluaran susu akan lebih cepat berlaku.

Jadi setiap ibu perlu bersedia dan susukanlah anak anda dengan yakin tanpa ragu-ragu sama ada anak mendapat susu yang cukup atau tidak. Sememangnya bila puting payudara dipicit ia seakan tiada susu, kerana fizikal kolostrum yang pekat dan sangat sedikit sesuai dengan keperluan dan saiz perut bayi yang tersangat kecil.

Selain itu, warna kolostrum yang jernih pada awalnya dan kekuningan menyebabkan ia tidak kelihatan dan ibu tidak sedar kehadirannya. Hanya rangsangan kerap pada payudara saja yang dapat membantu kolostrum tersebut diterima oleh bayi anda. Jadi ibu tak perlu panic jika anda melalui situasi seperti ini kerana ianya sesuatu yang normal dan apa yang perlu anda lakukan hanyalah menyusukan anak sekerapnya termasuk disebelah malam..

Lebih kerap payudara ibu mendapat rangsangan lebih cepat kolostrum akan mula keluar, lebih banyak kolostrum akan diterima oleh bayi dan lebih banyak susu bakal terhasil. Jangan risau kerana bayi mampu bertahan selama 6 jam walaupun tanpa makanan kerana bekalan makanan yang diterima dari plasenta mampu menampung keperluan jam-jam pertama kehidupannya. Bila bayi menangis bukan lah semata-mata kerana dia kelaparan tapi banyak lagi factor lain yang menyebabkan bayi menangis. Jadi susukan lah anak anda kerana hanya penyusuan saja yang dapat menenangkan anak dan memberi keselesaan kepadanya.

Selain itu, ibu perlu memastikan pelekapan (latch on) yang betul dan posisi penyusuan yang tepat untuk memudahkan proses kelahiran. Ikuti sambungannya nanti.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...