KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengalu-alukan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mana-mana individu yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan termasuk yang bekerja di pejabatnya.
Mohamad dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau juga sedia memberikan komitmen dan kerjasama penuh kepada SPRM.
“Seperti kenyataan saya di Parlimen sebelum ini dalam siasatan terhadap Kementerian Pertahanan yang diketuai bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, saya juga mengalukan-alukan siasatan SPRM termasuk individu yang bekerja di pejabat saya.
“Saya bersedia memberikan komitmen dan kerjasama penuh kepada SPRM. Bagi saya, tiada kompromi dalam soal integriti,” katanya.
Menurut Mohamad, sekiranya terdapat apa-apa kes, SPRM boleh mendakwa mereka mengikut saluran undang-undang sedia ada.
Semalam, NSTP melaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat seorang pegawai di Kementerian Pertahanan kerana dikatakan menerima RM800,000 untuk mengeluarkannya daripada status muflis.
Sumber SPRM memaklumkan siasatan terhadap individu itu sudah dijalankan sejak dua bulan lalu susulan laporan yang diterima SPRM daripada seorang ‘whistleblower’ atau pengadu.
Difahamkan, pegawai kanan terbabit sudah pun dipanggil ke SPRM untuk dirakam percakapan sebaik pihak SPRM menerima laporan tentang perkara itu.