KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) — Persatuan sukan kebangsaan bertanggungjawab menampung perbelanjaan atlet negara di bawah naungan masing-masing bagi memastikan mereka dapat menyertai Sukan Asia 2018, Ogos ini di Indonesia.
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beberapa atlet negara yang bertanding di bawah Kategori B telah berjumpa dengannya beberapa hari lepas kerana mendakwa terdapat segelintir persatuan sukan kebangsaan yang memaksa mereka mengeluarkan wang saku sendiri untuk ke Indonesia.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan akan mencari satu jalan penyelesaian bagi memastikan atlet terlibat dapat beraksi pada temasya sukan berkenaan.
Menerusi Kategori B, persatuan sukan terlibat perlu menanggung perbelanjaan atlet masing-masing dan mereka akan dibayar semula oleh Majlis Olimpik Malaysia sekiranya atlet mereka meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.
“Kementerian (Belia dan Sukan) akan cuba membantu sebaik mungkin persatuan terlibat tetapi pada masa sama persatuan juga perlu membantu atlet (berkenaan) sebaik mungkin…sebab itu saya tekankan persatuan sukan perlu dipimpin oleh orang yang berkelayakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini..
Secara peribadi, Ligakampung.com juga bersetuju agar atlet-atlet dibawah B ditanggung oleh Persatuan Sukan. Sekiranya tidak dapat menampung seratus peratus sekalipun mungkin separuh bagi menggurangkan beban atlet.