Kredit foto: Astro Gempak
Bekas pelajar rancangan realiti Akademi Fantasia (AF) 2016 Zahrul Hilmi Badrul Hisam, 25, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tamparuli-Ranau dekat Kampung Kelawat, Tamparuli, Tuaran, jam 1 tengah hari, hari ini.
Zahrul Hilmi atau Emy maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan badan selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori .
Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Z800 dari arah Tamparuli menghala ke Ranau dipercayai hilang kawalan apabila berada di selekoh laluan berbukit.
“Susulan itu, motosikal mangsa memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tiga tan dipandu lelaki berusia 55 tahun.
“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya kepada Harian Metro.
Mangsa yang berasal dari Kampung Selupoh, Tuaran juga menganggotai kumpulan Buska Basker di mana sering menjayakan persembahan sekitar Kota Kinabalu dan daerah berhampiran.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Ahmad Daud, 53, berkata, mangsa sempat bersalaman dengan bapanya, Badrul Hisam Kumut, 50-an, sebelum bergegas meninggalkan kediaman dalam keadaan kelam kabut.
“Menurut ayah mangsa, arwah dikatakan mahu ke Ranau untuk bertemu dengan seorang lagi rakannya dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi, namun rakannya membatalkan niat manakala arwah tetap mahu pergi dan meneruskan perjalanan seorang diri.
“Selalunya dia akan minum dahulu sebelum menunggang motosikal untuk perjalanan jauh, tetapi kali ini tidak dan ia jelas dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya di Kingfisher Sulaman di Kota Kinabalu sebelum bersalam dengan ayahnya,” katanya dalam wawancara di Hospital Tuaran.
Tambahnya, arwah yang juga juara Joharockstar 2016 itu sempat membuat persembahan di Tuaran beberapa hari lepas.
“Ibunya dalam perjalanan pulang dari Amerika Syarikat dan dijangka tiba di Kuala Lumpur esok sebelum bertolak ke Sabah.
“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah dua hari lalu dan menasihatinya supaya tidak menunggang motosikal terlalu laju dan dia menganggukkan kepala, tak sangka itu senyuman terakhirnya yang saya lihat,” katanya.
Dalam pada itu, sepupu mangsa, Razeef Rakimin, 30, berkata, dia yang sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuaran, dikejutkan dengan penularan gambar kemalangan di aplikasi WhatsApp.
“Sebaik melihat rupa dan kad pengenalan arwah, saya batalkan niat untuk pulang, sebaliknya menunggu jenazah tiba di hospital," katanya.