loading...

Zulkifli Nekad Berubah Selepas 18 Tahun Jadi Mak Nyah

SELAMA 18 tahun bergelumang di ‘alam lorong’ yang penuh dengan maksiat, akhirnya Zulkifli Mazlan sedari dirinya sudah menyimpang jauh.

 

Berumur 32 tahun dan berasal dari Johor, Zulkifli tidak pernah menyangka dirinya yang disangkanya hanyalah lelaki lembut semasa kanak-kanak bertukar menjadi ‘mak nyah’ tanpa paksaan sesiapa.

 

“Saya dari kecil memang lembut, tapi saya tidak pernah terlintas untuk menjadi pondan (mak nyah),” katanya kepada Berita Daily.

 

Menyingkap kehidupannya sebelum terjebak dalam kancah ‘mak nyah’ di lorong gelap, Zulkifli sewaktu kecil sering dipukul oleh ayah saudara dan datuknya kerana mempunyai ciri-ciri lelaki lembut.

 

Datuknya yang menjaganya setelah ibu dan bapanya bercerai berpendapat bahawa cara itu boleh mendidik Zulkifli dan mengelakkan terus menjadi lelaki yang ‘longlai’ namun sebenarnya sebaliknya yang berlaku.

 

Beliau yang tidak dapat menerima cara tersebut membuat keputusan lari dari rumah pada usia hanya 11 tahun.

 

Kemudian beliau berkenalan dengan  ‘mak nyah’ di lorong tempatnya menjadikan ‘sex worker’ sebagai sumber pendapatan seawal usianya 12 tahun.

 

“Saya sering dipukul oleh adik-beradik mak saya, datuk saya pukul kerana tidak suka saya jadi lelaki lembut, nampak lembut.

 

“Tapi dengan pukul bukan dapat mendidik kita, ia jadikan saya tekanan dan sakit hati. Jadi saya lari dari rumah.

 

“Saya lari  ketika berumur 11 tahun, saya lari dengan tidak kenal siapa-siapa, saya tidur di pondok bas, lari bawa diri.

 

“Selepas itu saya kenal seorang mak nyah di sebuah lorong di Johor,” ujar Zulkifli.

 

Ketika itu setiap hari Zulkifli mampu meraih RM3000 setiap hari dan  hanya di kelilingi dengan kumpulan ‘mak nyah’ yang semakin membuatkannya hanyut.

 

“Saya mula berkecimpung dengan ‘alam gelap’ ketika berumur 12 tahun lagi.

 

“Di ‘alam lorong’ ini bukan senang nak hidup melainkan dengan cara dengan cara ‘menjual diri’,” tambahnya.

 

Pernah cuba untuk meninggalkan kerjanya sebagai ‘sex worker’ sebelum ini, Zulkifli yang mencuba untuk memulakan kehidupan baru pada waktu itu dengan mengambil upah sebagai pembantu restoran dengan upah RM20 sehari terjebak kembali kerana kesempitan wang.

 

Walaubagaimanapun berlaku kejutan apabila terdetik di hatinya setahun yang lalu untuk memulakan kehidupan yang baru yang berlandaskan ajaran agama sejurus kembali dari mengerjakan umrah selepas beberapa tahun mengikuti program keagamaan.

 

“saya betul-betul meninggalkan alam lorong itu pada Febuari 2016, dah nak masuk setahun.

 

“Masa itu saya sudah tidak lagi rasa tertarik untuk membuat kerja mencari pelanggan, Allah gerakkan hati saya untuk malas bekerja.

 

“Selepas itu saya kerja di kedai makan dengan gaji RM20 setiap hari, saya rasa tidak cukup kemudian saya kembali melacur, masa itu memang terpaksa buat sebab tidak ada duit, nak minta duit dari siapa?

 

“Dalam masa lima tahun ini saya ikuti semua program keagamaan walaupun tidak berubah secara keseluruhan, saya masih buat aktiviti biasa saya.

 

“Sepanjang mengikuti program Mukhayyam saya diajak untuk pergi umrah tetapi saya tidak mahu walaupun diajak dua kali daripada penaja UIA (Universiti Islam Antarabangsa) untuk komuniti ‘mak nyah’, kali ketiga saya diajak dan saya pergi,” katanya lagi.

 

Mukhayyam adalah program rawatan dan pemulihan untuk ‘mak nyah’ bagi mengajak mereka kembali ke pangkal jalan di bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim).

 

Mengakui dirinya sudah menyimpang jauh dan telah melanggar norma agama selama ini, Zulkifli kini bertegas untuk membina tembok kekuatan dalam dirinya sendiri.

 

Baginya yang kini menjadi Juru Audit Pusat Insaf Pahang (PIP) dugaan dan cabaran hidupnya yang sukar akan dapat dihadapinya menerusi kekuatan mental dan pegangan agama.

 

“Naluri saya memang masih lembut, tapi hidayah Allah lagi besar.

 

Untuk berubah ia perlu kekuatan diri kita sendiri, kita yang menentukan perubahan kita.

 

“Keluarga saya sekarang pun menerima saya seadanya,” menurut Zilkifli.

 

Padanya, lelaki lembut wujud dengan naluri semula jadi itu namun mengubah diri merupakan pilihan yang salah.

 

Kini Zulkifli berusaha untuk mengumpulkan modal untuk membuka restoran di sebagai caranya untuk mencari rezeki yang halal.

 

Beliau yakin niatnya untuk berubah akan memberikan hasil yang akan membanggakan dirinya kelak walaupun terpaksa bersusah-susah dahulu.

 

“Kini saya dalam proses membuka kedai makan, selepas ada pihak yang memberikan saya premis untuk memulakan perniagaan.

 

“Yang saya perlukan adalah modal untuk selebihnya. Walaupun saya diduga dengan kehidupan yang tidak lagi semewah seperti dulu, semuanya serba kekurangan, semua tentang duit. Tetapi saya yakin rezeki itu Allah yang bagi,” tambahnya. – BeritaDaily



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...