KUALA LUMPUR: Bintang sensasi, Ayda Jebat, bersyukur kerana single Pencuri Hati versi dangdut sudah mula memanjat carta lagu popular di beberapa stesen radio di Indonesia.
Menurutnya, selepas menempuh pelbagai cabaran untuk memperkenalkan diri dan lagunya di negara berkenaan, beliau berasakan usahanya itu berbaloi apabila ia mula diterima peminat di sana.
“Biarpun saya sendiri sukar untuk mempercayainya, namun sudah menjadi rezeki saya apabila Pencuri Hati menembusi pasaran Indonesia dan memanjat anak tangga carta lagu popular di sana.
“Macam-macam cabaran yang saya lalui untuk sampai ke tahap ini, namun ia amat berbaloi. Saya juga mendapat tahu, lagu terbabit mendapat putaran yang tinggi di radio mereka,” katanya.
Bintang Rindu Awak 200% itu turut memberitahu, penyampai radio dan pengacara televisyen di negara berkenaan juga mula mengambil tahu perihal dirinya sebagai pelakon serta penyanyi.
“Sebahagian daripada mereka maklum mengenai drama lakonan saya, selain menyukai lagu tema filem animasi Disney, Moana, berjudul Bawaku Berkelana yang saya rakamkan sebelum ini,” katanya kepada BH Online.
Lebih manis buat artis peramah ini, Pencuri Hati juga terpilih menjadi lagu tema beberapa drama televisyen di negara itu, termasuk Rebutan Cinta Skretaris Metal, Let’s Go Kita Married dan Tanjidor Love Story.
“Saya memang berharap, penerimaan peminat terhadap lagu terbabit terus membuka mata masyarakat di sana terhadap kehadiran saya,” katanya yang berkunjung ke Jakarta, baru-baru ini, bagi menjayakan siri promosi.
Bercerita mengenai dunia lakonannya pula, Ayda berkata, ketika ini beliau menantikan tayangan filem yang dibintanginya bersama Shaheizy Sam dan Farid Kamil, Pinjamkan Hatiku, ditayangkan kepada umum.
Beliau juga baru saja pulang dari Gold Coast, Australia, bagi menjalani penggambaran drama, Ku Kirim Cinta, di samping Redza Rosli. Drama berkenaan akan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, Ramadan ini.-Bharian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW