LONDON – Masa depan Daniel Sturridge bersama Liverpool akan ditentukan pada penghujung musim 2017 bukan sebelum tamat tahun ini, kata pengurus kelab itu, Jurgen Klopp.
Penyerang England itu kurang beraksi pada musim ini dan hanya bermula sebanyak lima kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris berikutan Klopp lebih meletakkan sandaran kepada Philippe Coutinho, Roberto Firmino dan Sadio Mane.
Ketika ini Sturridge masih lagi mempunyai baki kontrak dua musim bersama Liverpool dan Klopp enggan mengulas lanjut berhubung masa depan pemain itu.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku pada musim ini.
“Ini bukan sahaja melibatkan Daniel tetapi ramai pemain lagi. Daniel tidak berlatih lapan atau sembilan hari kerana jangkitan virus.
“Kami perlu memastikan prestasinya kembali seperti asal bagi mencapai keputusan cemerlang bersama.
“Kemudian baharu kami buat keputusan dan berbincang bersama Daniel berhubung masa depannya pada penghujung musim.
“Banyak perkara yang akan mempengaruhi dan kami hanya bersuara tentangnya apabila sudah tiba masanya,” kata Klopp.
Ketika ini Liverpool dilaporkan mempunyai beberapa keputusan selepas musim ini termasuk mempertimbangkan masa depan Lucas Leiva yang akan tamat kontraknya pada hujung musim ini manakala kontrak Emre Can sudah memasuki fasa terakhir untuk berunding. – AGENSI
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW