SEPANG – AirAsia dan AirAsia X menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadi mangsa penipuan sindiket agensi pelancongan yang mengiklankan penjualan tiket di laman sosial.
Menurut syarikat gergasi itu menerusi kenyataannya hari ini, ada beberapa agensi pelancongan yang tidak berdaftar memperalatkan pengguna Facebook dan Instagram dalam mempromosikan pakej percutian milik mereka, lapor BH.
Tambah kenyataan itu, satu laporan polis sudah dibuat berikutan ada beberapa aduan mangsa yang sudah tertipu oleh agensi berkenaan.
“Kita menerima beberapa aduan orang ramai yang jadi mangsa penipuan, justeri kami mengingatkan mereka supaya membuat tempahan di laman web rasmi airasia.com dan laman web rasmi syarikat bersekutu AirAsiaGo.com atau pusat jualan rasmi.
“Jenama AirAsia sering disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan menipu masyarakat dalam mengiklankan perkhidmatan mereka,”kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, menurut AirAsia, syarikat itu akan ambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menganjurkan skim haram dengan menggunakan jenama AirAsia.
Jika terdapat sebarang kemusykilan atau ingin melaporkan program yang disyaki satu penipuan boleh berhubung dengan AirAsia melalui saluran komunikasi rasmi facebook.com/airasia atau AskAirAsia.com/ask.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW