KEMENANGAN peserta dari Palestin, Yaqoub Shaheen dalam pertandingan Arab Idol disambut penuh kegembiraan oleh rakyat negara itu.
Sebaik diumumkan pemenang, Shaheen menyampaikan lagu bertema patriotik, dengan bendera Palestin diletakkan di atas bahunya.
Antara lirik yang menyentuh perasaan adalah; “Sumpah dan janji saya, darah saya untuk Palestin”.
Di Gaza dan Tebing Barat, ribuan penduduk memenuhi jalan raya, kedai kopi dan restoran, untuk menyaksikan pertandingan itu secara langsung melalui skrin besar.
“Ini hari bersejarah buat Palestin,” kata seorang penduduk, Mohammed Abu Ali.
Pemandu-pemandu teksi pula membunyikan hon dan memainkan lagu-lagu yang dipersembahkan peserta sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.
Program Arab Idol tahun ini menyaksikan dua peserta dari Palestin, Shaheen dan Ameer Dandan, bersaing dengan seorang peserta dari Yaman, Ammar Mohammed.
Shaheen merupakan rakyat Palestin kedua dinobatkan sebagai pemenang selepas Mohammed Assaf, pada tahun 2013.
Program berkenaan cukup popular di Asia Barat, dengan formatnya diambil berdasarkan program Pop Idol di Britain.
Disiarkan menerusi saluran MBC1, Shaheen yang menerima undian tertinggi menerima kontrak rakaman bersama syarikat Platinum Records, selain bakal menyertai nama-nama besar arena hiburan Asia Barat dalam pelayaran Stars On Board.-Awani
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW