KUALA LUMPUR – Keuntungan sebelum cukai Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016 susut sebanyak 43.11 peratus kepada RM248.19 juta berbanding RM436.25 juta bagi tempoh sama 2015.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata antara puncanya adalah pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah dan kerugian akibat kenaikan kos gula mentah yang dialami oleh entiti dimiliki secara bersama.
Hasilnya bagaimanapun, meningkat 11 peratus kepada RM17.28 bilion berbanding RM15.55 bilion pada 2015.
Menurut FGV, penyusutan keuntungan sebelum cukai itu juga disebabkan oleh kerugian yang dialami segmen hiliran dan huluan sawit.
Ia turut dijejaskan oleh penurunan bayaran nilai saksama dalam perjanjian pajakan tanah sebanyak RM68.28 juta berbanding RM224.86 juta pada 2015, katanya.
Bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2016 keuntungan sebelum cukai FGV meningkat kepada RM202.96 juta berbanding RM189.77 juta bagi tempoh sama pada 2015.
Hasil pula meningkat kepada RM5.19 bilion berbanding RM4.14 bilion sebelum ini.
Mengulas keputusan prestasi 2016 itu, FGV berkata penurunan sumbangan operasi huluan itu adalah disebabkan pengeluaran tandan buah segar (TBS) lebih rendah daripada 4.63 juta tan kepada 3.91 juta tan pada 2016 biarpun harga MSM naik kepada RM2,560 satu tan berbanding RM2,210 pada 2015.
Kadar pengekstrakan minyak juga lebih rendah iaitu pada 20.68 peratus berbanding 20.91 peratus pada tahun sebelumnya.
“Keputusan itu dijejaskan lagi dengan pengurangan nilai empat kilang penapis minyak sawit berjumlah RM11.81 juta akibat pelaksanaan langkah rasionalisasi,” kata kumpulan itu.
Segmen gula pula susut kepada 58.7 peratus berbanding sebelum ini berikutan kos material gula mentah serta penurunan nilai ringgit, namun dapat diimbangi dengan peningkatan jualan domestik sebanyak 24 peratus.
Bagi prospek masa depan, firma perladangan itu berkata aliran peningkatan harga MSM itu dijangka dapat dikekalkan pada jangka masa terdekat ini susulan bekalan yang terhad.
Harga purata MSM Malaysia bagi Januari 2017 meningkat kepada RM3,268 peratus iaitu pertambahan 23 peratus daripada harga purata 2016 sebanyak RM2,653 satu tan.
“Peningkatan aliran harga MSM itu dijangka berterusan pada penggal terdekat ini berikutan bekalan yang terhad. Bagaimanapun, jangkaan pemulihan industri bagi pengeluaran TBS itu akan menjejaskan harga MSM pada akhir tahun ini,” katanya.
Kumpulan itu turut memberi jaminan untuk terus komited bagi mempertingkatkan hasil TBS serta kecekapan operasinya selain melaksanakan pemantauan kos operasi. – BERNAMA
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW