loading...

Nokia ‘Hidupkan’ Kembali Telefon Klasik 3310

BARCELONA  – Perniagaan telefon Nokia dihidupkan kembali menerusi pengenalan semula telefon klasik 3310 dengan versi warna terang, iaitu sebuah peranti paling popular dunia sekitar tahun 2000, semalam.

 

Model baharu itu mempunyai skrin lebih besar dan berharga hanya 49 euro (RM230). Daya tarikan telefon itu terus meningkat sebagai pengganti telefon pintar dengan keupayaan masa bercakap selama 22 jam dan mampu bertahan sehingga sebulan dalam keadaan sedia.

 

Penganalisis memuji pelancaran 3310 sebagai langkah permulaan kepada retro pintar, namun ia mampu mengeruhkan kemasukan semula syarikat itu ke dalam pasaran telefon pintar global. Nokia turut melancarkan empat telefon pintar berharga antara 139 euro (RM652) hingga 299 euro (RM1403).

 

“Jenama ini menerima kasih sayang daripada berjuta-juta orang,” kata Ketua Eksekutif Nokia, Rajeev Suri pada sidang akhbar di Kongres Mudah Alih Dunia di Barcelona, iaitu pameran perdagangan tahunan terbesar bagi industri telekomunikasi, semalam.

 

Pernah muncul sebagai pembuat telefon paling dominan dunia, Nokia pada tahun 2014 menjual operasi telefon bimbitnya kepada Microsoft dengan harga AS$7 bilion (RM31.10 bilion), sekali gus meninggalkannya dengan perniagaan peralatan rangkaian dan portfolio paten.

 

Namun pada tahun lepas, jenama Nokia menerima permulaan baharu selepas melesenkan jenama perantinya kepada HMD Global, iaitu sebuah syarikat baharu diterajui oleh bekas eksekutif Nokia dan disokong oleh gergasi elektronik China, Foxconn.

 

Penganalisis industri berkata, Nokia 3310 yang dihidupkan semula itu mempunyai potensi untuk menjadi satu peranti paling hit bagi tahun 2017, menarik minat peminat Nokia sedia ada yang mencari penawar kepada lambakan telefon pintar, serta pengguna baharu.

 

Telefon Nokia 3310 asal terjual sebanyak 126 juta unit, iaitu model telefon ke 12 paling laris dalam sejarah. Sembilan daripada 12 model paling laris itu dihasilkan oleh Nokia. – REUTERS/Utusan



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...