loading...

Syarikat Arab Saudi Setuju Labur RM30 Bilion Usahasama Dengan Petronas

PUTRAJAYA – Syarikat petroleum Arab Saudi, ARAMCO dan PETRONAS akan memeterai perjanjian persefahaman bagi projek kilang penapis minyak di RAPID Pengerang, Johor membabitkan pelaburan bernilai RM30 bilion esok, kata Datuk Seri Najib Razak.

 

Perdana Menteri menyifatkan projek itu sebagai pelaburan tunggal terbesar dan sangat penting termasuk dalam memperkukuh nilai ringgit, menambah peluang pekerjaan sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap ekonomi negara.

 

“Butiran maklumat terperinci akan diumumkan esok, ..hari ini kita sahkan perjanjian sudah dicapai malah Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud amat puas hati dan gembira,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dua hala bersama Raja Salman di Seri Perdana di sini, hari ini.

 

Selain itu Najib berkata, permintaan Malaysia bagi penambahan kuota jemaah haji mendapat maklum balas positif Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

 

Beliau berkata, Malaysia berterima kasih atas penambahan kuota sebanyak 30,000 kepada jemaah malaysia menunaikan haji bagi tahun ini.

 

“Peranan Raja Salman sebagai Penjaga Dua Masjid Suci, sudah tentu pengurusan jemaah haji satu perkara yang diberi perhatian berat kerajaan Arab Saudi.

 

“Permintaan kita untuk menambah kuota haji mendapat maklum balas positif Raja Salman yang mana ia perlu diberi pertimbangan dengan lebih mendalam,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut mengemukakan permohonan untuk menjadikan dua masjid utama di Makkah dan Madinah sebagai pusat untuk jemaah haji.

 

“Perkara ini akan dipertimbangkan kerajaan Arab Saudi, ini kerana orang asing tidak boleh memiliki tanah mengikut undang-undang negara berkenaan, kita akan lihat sama ada kita akan sewa untuk jangka panjang, itu akan diteliti,” katanya. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...