loading...

Jong-nam: Hanya Waris Sah Boleh Tuntut Mayat

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengulangi hanya anggota keluarga atau waris yang disahkan DNA dibenarkan menuntut mayat Kim Jong-nam di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur, di sini.

 

Beliau berkata pihaknya tidak akan menerima tuntutan daripada pihak lain termasuk kedutaan atau delegasi Korea Utara kerana ia merupakan prosedur operasi standard dalam proses menuntut mayat di negara ini.

 

 
“Polis perlu sahkan DNA mayat itu terlebih dahulu yang perlu dilakukan oleh keluarga mangsa.

 
“Selepas itu baru kami akan serahkan kepada keluarga dan terpulang kepada mereka hendak lakukan apa terhadap mayat berkenaan,” katanya kepada Bernama.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media antarabangsa bahawa Korea Utara telah menghantar delegasinya ke Malaysia bagi menuntut mayat itu.

 

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pihaknnya telah memenuhi segala piawaian antarabangsa bagi siasatan kes dan proses bedah siasat ke atas mayat.

 

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan tujuh suspek dalam kes tersebut yang masih bebas, Khalid berkata pihaknya masih menjejaki mereka.

 

“Walaupun dua suspek wanita kes berkenaan iaitu seorang warga Vietnam (Doan Thi Huong) dan Indonesia (Siti Aisyah) akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang esok, polis akan terus mencari kesemua mereka bagi membantu siasatan.

 

“Kami akan menggunakan semua saluran yang ada termasuk mendapatkan kerjasama polis Interpol,” katanya.

 

Pada 13 Februari lepas, Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dia dihampiri dua wanita yang dilapor menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai disembur bahan beracun yang kemudian disahkan sebagai agen saraf VX.

 

Jong-nam yang memegang pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. – Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...