NEW YORK – Syarikat swasta aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), SpaceX mengumumkan pelan untuk menghantar dua pelancong melawat bulan pada hujung tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif firma itu, Elon Musk berkata, kedua-dua pelancong tersebut telah membayar sejumlah deposit untuk melancong ke bulan tetapi beliau tidak mendedahkan kos keseluruhan bayaran berkenaan.
“Misi ini mewakili peluang kepada manusia untuk kembali ke ruang angkasa yang lebih jauh buat kali pertama dalam tempoh 45 tahun,” katanya seperti dilaporkan portal BBC.
Kedua-dua pelancong yang dirahsiakan identitinya itu, akan menaiki kapal angkasa yang akan menjalani ujian penerbangan tanpa pemandu pada hujung tahun ini.
Sementata itu, Musk berkata, misi pada hujung tahun depan turut melibatkan kerjasama Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) yang mahu memastikan perkara tersebut menjadi realiti.
Jelasnya, dua penumpang itu akan mengembara dengan pantas dan lebih jauh ke sistem solar berbanding mana-mana angkasawan sebelum ini.
“Seperti angkasawan Apollo, kedua-dua pelancong itu akan membawa harapan dan impian seluruh umat manusia dengan semangat untuk meneroka angkasa.
“Kami jangkakan ujian kecergasan dan kesihatan serta latihan diadakan pada hujung tahun ini,” katanya.
Misi tersebut akan membawa penumpang berkenaan mengelilingi bulan sebelum bergerak lebih jauh dan tidak melibatkan pendaratan di planet itu. – mstar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW