Nama Sam Nuhair mungkin belum cukup kuat walaupun sudah beberapa tahun meninggalkan pentas program realiti AF2014. Single pertamanya berjudul Pertama Kali juga kurang mendapat sambutan.
Kini, Sam Nuhair rancak mempromosikan single kedua, Kau Menjauh. Berbeza dengan karya terdahulu, buah tangan terbaru ini dilihat berpotensi melonjakkan namanya.
Walaupun kedengaran agak ringan untuk vokal Sam Nuhair, Kau Menjauh memberi ruang kepada pendengar untuk menilai kemampuan sebenar penyanyi ini.
Apa yang boleh disimpulkan, Kau Menjauh lebih matang dari sudut muzik, penghayatan serta lantunan vokal penyanyinya.
Bercerita mengenai lirik lagu ini, ia mengisahkan seorang gadis dilukakan jejaka yang dicintainya. Menghayatinya, dapat dirasai emosi yang ingin disampaikan Sam Nuhair.
Menurut Sam Nuhair, pada mulanya lagu ini berjudul Hancur namun atas beberapa sebab ia ditukar kepada Kau Menjauh.
“Saya hasilkan lagu ini ketika berusia 17 tahun dan jalan ceritanya berdasarkan pengalaman saya sendiri. Mungkin kerana itu saya dapat suntikkan emosi didalamnya.
“Saya berpuas hati dengan lagu ini dan berharap dapat diterima peminat,” katanya.
Kata Sam Nuhair, tidak pernah sekali pun terlintas di fikirannya lagu ini dapat dikomersialkan.
“Saya hasilkan sendiri lagu in dan tak pernah siap sepenuhnya. Pernah juga memuat naik video saya menyanyikan ini di YouTube sambil memetik gitar.
“Ramai beri reaksi positif dan minta saya jadikannya single. Syukur, berkat sokongan ramai akhirnya lagu ini dapat diperdengarkan kepada umum,” katanya.-Hmetro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW