loading...

Harap Lawatan Raja Salman Rungkai Isu ‘Derma’

ALOR SETAR – Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa satu perjumpaan akan diadakan antara Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Menurutnya, setakat ini, tiada pertemuan rasmi diatur oleh kedua-dua pihak.

 

“Tiada permohonan daripada pihak Raja Salman untuk bertemu Mahathir atau sebaliknya,” katanya.

 

Mukhriz berkata, lawatan itu diharap dapat merungkai persoalan melibatkan wang derma AS$681 juta melibatkan 1MDB, namun bimbang lawatan itu disalahguna oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengaburi dakwaan yang menjadi krisis politik terbesar dalam negara.

 

“Sudah pasti kerajaan pimpinan Najib ambil kesempatan atas lawatan itu bukan untuk kepentingan Malaysia, namun kepentingan peribadi beliau dengan muslihat untuk mengiakan dakwaan AS$681 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi miliknya adalah derma seorang Putera Raja Arab Saudi,” katanya.

 

 

Menurutnya, rakyat mengharapkan agar isu berkenaan diperjelaskan Raja Salman supaya rakyat mengetahui kebenarannya.

 

“Betulkah itu wang derma kerana jumlahnya terlalu banyak. Jika ya, adakah wang itu untuk dana pilihan raya Umno? Atau untuk membiayai gerakan menentang ancaman Isis dan Yahudi seperti dikatakan beberapa Menteri Kabinet?,” katanya.

 

Katanya, rakyat masih tertanya-tanya sama ada sejumlah AS$620 juta dipulangkan kepada penderma kerabat diraja itu seperti diumumkan.

 

“Persoalan ini perlukan pengesahan Raja Salman sendiri. Isu ini perlu diselesaikan kerana Najib dan jentera propaganda beliau akan wujudkan gambaran kononnya tiada masalah dengan Arab Saudi, selain dapat mengesahkan dakwaan wang tunai itu sememangnya sumbangan ikhlas Kerabat Diraja Arab Saudi,” katanya.

 

Menurutnya, pengesahan itu amat perlu kerana turut melibatkan isu penyelewengan wang 1MDB.

 

“Demi nama baik Malaysia yang kini terpalit dengan skandal politik terburuk, Raja Salman perlu mengesahkan dakwaan, seorang Putera Raja Arab Saudi telah menderma wang kepada Najib.

 

Sekiranya tidak disahkan, isu itu akan berlarutan dan Najib terus menyalahgunakan kuasa walaupun kehilangan kepercayaan rakyat,” katanya.

 

Katanya, pihaknya tidak mahu Najib menyalah guna lawatan itu untuk menutup jenayah yang beliau lakukan dan sudah diketahui dunia.

 

“Saya harap isu itu diperjelaskan baginda kerana isu berkenaan turut jejaskan nama baik kerajaan Arab Saudi, kerana dikaitkan wang derma,” katanya.-Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...