ALOR SETAR – Riak wajah ceria cukup memberi gambaran kegembiraan hatinya berbicara mengenai ayahandanya, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, yang akan kembali ke Istana Anak Bukit dekat sini selepas 5 tahun berbakti sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Mengakui ayahandanya sentiasa sibuk dengan komitmen menjaga kebajikan negara dan rakyat yang dinaungi, ia nyata tidak menghalang puteri sulung baginda, Tunku Puteri Intan Safinaz mengiringi ayahandanya menjelajah ke seluruh pelosok dunia dalam menjalankan tugasan rasmi.
Tunku Puteri Intan Safinaz, yang juga Tunku Panglima Besar Kedah, meleretkan senyumannya apabila mengimbas kembali kenangan bersama ayahandanya menjadi ketua negara di 2 era pentadbiran kerajaan Malaysia.
Wakil 2 era ekonomi berbeza
Dalam satu temubual khas di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit dekat sini baru-baru ini, puteri diraja itu berkata ayahandanya amat bertuah kerana berpeluang melihat 2 era ekonomi selepas merdeka yang cukup jauh berbeza di bawah pentadbiran 2 perdana menteri.
Ketika baginda menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5, Tun Abdul Razak Hussain adalah perdana menteri ke-2 Malaysia, dan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pula, baginda berganding dengan anakanda Razak iaitu perdana menteri ke-6 Datuk Seri Najib Razak.
“Tuanku mewakili 2 era ekonomi yang kita dapat lihat dan kaji iaitu selepas merdeka sehingga sekarang. Tuanku dapat melihat transformasi ini berlaku di bawah pentadbiran negara,” katanya.
Membuka lembaran masa lepas ketika mengiringi ayahandanya, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata peristiwa paling manis tidak dapat dilupakannya ialah pengalaman menaiki kereta api dari negeri ke negeri dalam lawatan.
“Era Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong dulu, sistem pengangkutan sangat terhad, hendak bergerak dari satu tempat ke satu tempat ambil masa lama. Malah kita juga menaiki kapal terbang tentera udara yang sangat asas,” katanya.
Berbezalah pula dengan sekarang, Tunku Puteri Intan Safinaz yang berusia 50 tahun itu berkata, transformasi ekonomi memperlihatkan kewujudan tren moden, kapal terbang canggih, ratusan universiti awam dan swasta, kemudahan internet
dan rakyat juga mendapat pendidikan tinggi.
“Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong kali ke-2 menampakkan Kuala Lumpur sudah menjadi bandar metropolis, ini adalah satu perbezaan ketara, kalau dulu bangunan Parlimenlah yang tertinggi tapi sekarang kita miliki bangunan pencakar langit.
“Tuanku dapat melihat suasana ekonomi dan kemajuan rakyat yang amat tinggi, jadi isu pembangunan kerajaan adalah berbeza, mungkin sofistikated, kebanyakan isu besar sudah ditangani, negara sudah menjadi sebuah negara yang membangun,” katanya.
Bersemayam di 2 istana
“Banyak memori yang terbina antara saya dan ayahanda terutama menyaksikan sendiri Tuanku mencipta sejarah tersendiri dengan dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak 2 kali,” ujarnya.
Malah lebih manis lagi, apabila Tuanku Halim dan keluarga berpeluang bersemayam di 2 Istana Negara, iaitu di Jalan Istana Kuala Lumpur dan istana baru di jalan yang dinamakan bersempena nama baginda sendiri, iaitu Jalan Tuank Abdul Halim.
“Ini menandakan pembangunan negara yang menjadi simbol kebanggaan kita semua sebagai warganegara Malaysia,” katanya.
Rapat dengan pentadbiran negeri
Puteri Sultan Kedah itu berkata ayahandanya mengambil contoh dan teladan daripada nenendanya sendiri, Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Hamid Halim Shah dalam urusan mentadbir kerajaan negeri.
“Sejak kecil saya melihat Tuanku setiap hari ke pejabat dan rapat dengan pentadbiran negeri Kedah malah Tuanku Sultan menggunakan masa di pejabat untuk jadi penasihat dan penaung kepada kerajaan negeri,” katanya.
Hubungan rapat itu, menurutnya disebabkan ayahandanya berpengalaman dalam bidang pentadbiran kerajaan negeri, misalnya pernah bertugas di Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Daerah sebelum naik takhta
yang ke-27 pada 14 Julai 1958.
Puteri Sultan Kedah itu berkata sebagai sebuah negeri yang mempunyai sejarah pentadbiran kerajaan negeri terawal dan paling lama, iaitu bermula sejak abad ke-17 lagi, Sultan di negeri Kedah memang mempunyai tanggungjawab sedia ada dan
begitu rapat sekali dengan pentadbiran negeri.
“Kita tengok sebagai bukti Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah sebagai Sultan Kedah dari 1882-1943 menunjukkan sistem pentadbiran Kedah sudah mantap dan efisien,” katanya.
Berjiwa rakyat, tinggi komitmen pada kerja
Berpeluang mengiringi ayahandanya ke seluruh pelosok dunia dan negeri sejak kecil lagi atas urusan rasmi, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata Tuanku Halim cukup tinggi etika kerjanya dan sifat itu dikekalkan hinggalah sekarang.
Puteri Sultan Kedah itu berkata beliau dapat melihat kegembiraan bersinar pada wajah rakyat setiap kali Sultan Kedah mencemar duli berangkat ke majlis hari anugerah pelajar cemerlang bagi sekolah terbaik di Kedah, suatu ketika dahulu.
“Saya mendapati Tuanku begitu tekun menjalankan tugas kerana percaya kehadiran dan keberangkatan Tuanku di setiap acara itu memberi banyak kegembiraan dan sebagai satu role model untuk mereka yang ada dalam acara itu.
“Semenjak saya kecil hingga sekarang, Tuanku tekun menjalankan kerja berbentuk keraian dan acara luar, kemasyarakatan dan istana, acara rasmi, aktiviti ketenteraan serta aktiviti pendidikan di universiti,” kata Tunku Puteri Intan Safinaz yang sekarang adalah canselor Universiti Utara Malaysia.
Gemar main golf, sayang haiwan, minat fotografi
Puteri kandung yang mewarisi kecantikan Almarhumah ibundanya, Tuanku Sultanah Bahiyah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman itu berkata, komitmen Tuanku Halim selaku ketua negara dan Sultan Kedah tidaklah sama sekali membataskan aktiviti baginda dalam bidang sukan, rekreasi dan riadah.
Tunku Panglima Besar Kedah itu berkata, ayahandanya begitu meminati sukan golf, tenis, dan billiard sewaktu usia mudanya, malah turut mengikuti perkembangan pasukan bola sepak negara khususnya Kedah.
“Saya masih ingat, sewaktu muda, setiap hari, Tuanku akan mengambil masa dari pukul 5.00 petang hingga 7.00 malam untuk bermain golf.
“Malah Tuanku turut mempunyai sebuah zoo kecil yang menempatkan haiwan seperti burung, rusa, dan kuda dan sangat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan itu,” katanya.
Lebih menarik lagi, Tunku Puteri Intan Safinaz menceritakan ayahandanya turut meminati bidang fotografi malah membeli pelbagai jenis kamera sebelum era digital, dan koleksi kamera itu masih disimpan sehingga hari ini.
“Tuanku turut memiliki bilik gelap untuk memproses filem milik Tuanku sendiri,” katanya.
Pengalaman manis jadi Ahli Jemaah Pemangku Sultan
Sementara Tuanku Halim bersemayam sebagai Agong, Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang terdiri daripada adinda baginda Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah; dan Tunku Puteri Intan Safinaz sendiri mewakili sultan dalam urusan negeri.
Menyentuh detik-detik ketika menjadi Ahli Jemaah Pemangku Sultan, Tunku Puteri Intan Safinaz menyifatkan perkara itu adalah satu daripada penghargaan yang cukup berharga buat dirinya.
Puteri berjiwa rakyat itu memberitahu tugas dipikul bersama barisan Jemaah Pemangku Sultan yang lain dalam mewakili Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mentadbir rakyat di negeri Kedah bukanlah suatu perkara yang mudah.
“Segala tanggungjawab dan cabaran yang Tuanku pikul selama ini, barisan Jemaah Pemangku Sultan dapat rasakan dalam tempoh 5 tahun,” katanya.
Mengakhiri perbualan, Tunku Puteri Intan Safinaz turut menjunjung kasih di atas kepercayaan Tuanku Halim kepada Ahli Jemaah Pemangku Sultan Negeri Kedah dalam mentadbir negeri sepanjang tempoh Sultan Kedah bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Veteran Umno Saran Bersatu Bubar Parti -seluruh K ...

Gaduh Hingga Sebabkan Kematian, Polis Buru 11 Lagi ...

Lepas Kini Subjenama Baharu Chery, Bakal Lancar Le ...

Dakwa Mca & Mic Hilang Arah, P Ramasamy Tuduh ...