loading...

Ezad, Siti Nordiana Bakal Duet Single Baharu

Menginjak usia 37 tahun pada 30 November lalu, penyanyi yang kini cukup popular dengan lagu Demi Cinta semakin mengorak langkah sebagai penyanyi solo terutama selepas bergelar pemenang tempat ketiga program nyanyian, Gegar Vaganza musim 2 (GV2) pada tahun lalu.

 

Membuat kemunculan semula dengan dua single iaitu Hati Mati (featuring RJ) dan Cinta Terakhir (featuring Waris) pada tahun 2015, Ezad atau nama sebenarnya, Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim mengakui perjalanannya sebagai penyanyi solo semakin diterima khalayak.

 

“Alhamdulillah selepas GV2, rezeki saya sebagai penyanyi solo semakin terbuka luas. Saya memang tidak sangka. Saya ingatkan selepas GV2, habis di situ sahaja. Ternyata peluang semakin banyak terbuka.

 

“Demi Cinta pula merancakkan proses untuk saya terus kekal relevan sebagai penyanyi solo. Terima kasih kepada Mohd. Yassin yang sudi mencipta melodi lagu ini bersama saya serta penulis lirik (Iman Imran) untuk lirik yang sangat indah,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran klip video lagu tersebut di Redbox, pusat beli-belah The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Ditanya mengenai usaha untuk mengekalkan momentum sebagai penyanyi solo dengan kemunculan lagu yang menjadi siulan ramai pada masa akan datang, vokalis kumpulan Exists itu mendedahkan, kolaborasi antara dirinya dengan ‘rakan duetnya’, Siti Nordiana tidak lama lagi.

 

“Pihak pengurusan sudah berbincang dengan Nana untuk berduet dengannya menerusi sebuah lagu baharu. Nana juga sudah bersetuju untuk projek tersebut. Insya-Allah, ia akan menemui peminat tahun hadapan.

 

“Tertekan juga untuk mencari produk terbaik supaya kekal relevan dengan kebanjiran penyanyi-penyanyi baharu dalam industri. Insya-Allah, kalau ada rezeki dan diberi kesihatan baik, saya akan terus menyanyi demi peminat yang tidak henti-henti menyokong kerjaya seni saya,” ujarnya.

 

Kesihatan

 

Mengulas tentang keadaan

kesihatannya sekarang, pelantun lagu Jesnita itu berkata, penyakit asam lambung atau Gastroesophageal Reflux Disease (GERD) yang dialaminya semakin beransur pulih, namun dia masih perlu berpantang.

 

“Keadaan kesihatan beginilah. Apa yang perlu saya lakukan sekarang adalah mengawal pemakanan dengan baik. Tidak boleh terlalu lapar atau terlalu kenyang. Kalau tidak saya akan mengalami muntah-muntah.

 

“Selain itu, saya tidak boleh makan makanan yang pedas-pedas atau minum minuman berkarbonat kerana penyakit ini melibatkan sistem pencernaan. Bagaimanapun buat masa sekarang, semuanya masih terkawal,” tuturnya.

 

Ditanya sama ada penyakit tersebut mematahkan semangatnya untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni suara, penyanyi bersuara lunak itu tidak menafikan ia sedikit sebanyak menjejaskan perjalanan seninya.

 

“Apabila selalu tidak sihat, memanglah ia mengganggu periuk nasi saya. Banyak juga persembahan pentas yang terpaksa dibatalkan kerana penyakit ini.

 

“Bagaimanapun, saya rasa mental perlu kuat untuk berjuang menghadapi ujian daripada Allah ini. Macam-macam sudah saya usahakan untuk mengubati penyakit ini termasuk berubat cara tradisional. Apa pun, saya akan tetap menyanyi selagi diberi kekuatan,” katanya yang sempat menjayakan konsert Throwback Exists yang berlangsung di The Pavilion, Far East Square, Singapura pada 2 Disember lalu.

 

Sementara itu, ditanya mengenai kerjaya lakonan mahupun dunia komedi, Ezad berkata, dia memasang niat untuk bertanding dalam program Maharaja Lawak sekali lagi pada musim terbaharu.

 

“Saya suka melibatkan diri dalam program komedi. Jika sebelum ini saya bergabung dengan Ajo dan Abu sebagai sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Bos, untuk musim terbaharu nanti, saya ingin sekali lagi mencuba nasib dengan mereka atau pelawak lain,” ujarnya mengakhiri perbualan.-Kosmo



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...