JIKA dikira-kira, tahun ini sahaja sudah empat buah anugerah yang berjaya dibolot primadona negara, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy.
Pada Mei lalu, Ogy menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Bintang Popular ke-29 (ABPBH29) sebelum dinobatkan selaku Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Televisyen (TV) pada Anugerah Seri Angkasa 2016 (ASA2016).
Lebih manis, pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) pada September lalu, beliau turut membawa pulang trofi kemenangan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem dan mengulangi kejayaan sama untuk Anugerah Skrin 2016 (ASK2016), kedua-duanya bagi filem Langit Cinta.
Mengakui tidak menyangka bahawa tahun ini menjadi tahun gemilang buatnya kerana menggondol empat anugerah, aktres filem Abang itu sekadar melemparkan senyum manis penuh bermakna saat ditemui pada sidang media Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) baru-baru ini.
KOSMO!: Tahniah buat Ogy kerana tahun ini sahaja anda menggondol empat anugerah. Bagaimana perasaan anda apabila dihargai seperti ini?
OGY AHMAD DAUD: Alhamdulillah, ini bukan perkara baharu bagi saya tetapi jujur dari lubuk hati, saya sangat terkejut dan bersyukur kerana dikurniakan empat buah anugerah untuk tahun ini sahaja.
Sejak memulakan karier lakonan seawal usia 11 tahun, jujur saya tidak pernah mengimpikan untuk menggenggam sebarang anugerah atau pengiktirafan seperti ini.
Namun, apa yang lebih menggembirakan adalah kejayaan adik saya, Fazlina Ahmad Daud yang akhirnya berjaya menggenggam trofi anugerah buat pertama kali.
Jadi, boleh kongsikan perasaan anda tentang kemenangan kalian berdua memandangkan pada malam tersebut anda tidak dapat hadir?
Ketika ASK2016 tempoh hari, saya langsung tidak meletakkan sebarang harapan untuk diri sendiri, sebaliknya suara hati saya kuat mengatakan dia akan menang. Ternyata telahan saya benar.
Ketika menonton di rumah, saya menangis terharu melihat kejayaan dia walaupun tidak ada bersama kerana demam.
Hal itu amat bermakna kerana dia menang hasil usaha keras sendiri selama bergelar anak seni, saya tidak pernah memberi laluan mudah atau memanjakannya.
Jadi, ini bukan kejayaan peribadi tetapi secara amnya, kami tempa sejarah dalam keluarga sendiri dan membanggakan kedua-dua arwah orang tua.
Bagaimana anda memandang setiap penghargaan atau anugerah seperti ini menjadi tanda aras baharu dalam profil karier anda?
Harus beringat bahawa setiap yang datang daripada Tuhan sebenarnya adalah ujian. Adakah anugerah-anugerah ini sebenarnya kiriman dugaan yang Tuhan beri kepada saya supaya tidak meninggi dan lupa diri atau mendabik dada dalam hidup?
Saya mengaku, pada masa sama perasaan takut itu wujud andai terlena dibuai dengan kemasyhuran dunia.
Walaupun menang banyak anugerah dalam karier, itu bukan bermakna saya boleh mengibar bendera putih serta-merta.
Dunia ini dunia yang membesarkan saya, dunia yang mengajar saya erti menjadi seorang insan seni.
Setinggi mana saya terbang, perasaan tidak puas tetap ada dalam hati. Saya masih mencari ilmu untuk belajar dan tidak akan pernah puas dalam mengejarnya.
Baiklah, beralih kepada peranan anda dalam DFKL kali ini dan perkembangan karier?
Ini kali pertama saya dipanggil oleh pihak TV3 untuk menjadi salah seorang daripada tenaga pengajar bagi DFKL.
Sudah tentu saya tidak sabar untuk terlibat dalam projek yang bagus seperti ini kerana dapat mencurah ilmu kepada generasi pelapis industri seni.
Malah, projek yang dianjurkan adalah salah satu ruang terbaik untuk mempamerkan bakat-bakat baharu dalam bidang lakonan.
Perkembangan karier pula, insya-Allah tahun depan ada beberapa penggambaran drama menanti.
Selain karier, saya juga sangat sibuk dengan bisnes produk makanan, Air Tangan Ogy seperti sambal bilis, sambal goreng dan sambal ikan masin yang dijual secara online di Instagram.
Alhamdulillah, berkat sambutan hangat, saya berpeluang mengambil bahagian dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA 2016) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dari 1 hingga 11 Disember ini.-Kosmo
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW