KUALA LUMPUR – Ketua gerakan Baju Merah V2, Datuk Seri Jamal Md Yunos merancang himpunan secara aman di ibu pejabat Malaysiakini pada Khamis ini.
Jamal berkata, pihaknya juga merancang mengadakan perhimpunan secara aman kerana mendapati portal pro pembangkang itu dibiayai George Soros.
“Portal ini salah satu syarikat yang menerima dana Open Society Foundation (OSF) yang dikaitkan dengan pedagang matawang Yahudi, George Soros.
“Kami lihat tempat ini (pejabat Malaysiakini) sesuai kerana Malaysiakini adalah juga penerima dana tersebut,” ujarnya selepas membuat laporan polis mengenainya di Ibupejabat Polis Dang Wangi hari ini.
Jamal yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar memberitahu, kawasan Dataran Merdeka tidak dibenarkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Md Amin Nordin Abdul Aziz untuk membuat perhimpunan pada 5 November ini.
Justeru, pihaknya memilih pejabat Malaysiakini sebagai lokasi.
Sementara itu, menurut laporan Malaysiakini, ketua pengarang portal itu tidak menafikan hak kumpulan merah mengadakan bantahan secara aman.
Menurutnya, pihaknya telah memberikan penjelasan terperinci mengenai dana yang diperolehi daripada OSF dan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya ada siasatan.
Terdahulu, Jamal membuat laporan polis terhadap kuasa asing yang membiayai BERSIH.-SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW