KUALA LUMPUR – Presiden Pribumi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan tuduhan yang dibuat oleh penasihat Parti Bumiputera Bersatu (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai amat berat.
Beliau berkata, biarpun Tun Mahathir membuat tuduhan sedemikian, namun beliau tetap menghormati dan menyayangi negarawan tersebut.
“Saya buat sidang media hari ini kerana saya ada maruah. Tiga perkara yang disebut Tun Mahathir kononnya dia malu berkawan dengan saya, keduanya saya dituduh beri kemenangan kepada Najib dan ketiganya saya berpura-pura berjuang untuk orang Melayu. (Kesemua tuduhan) ini adalah tuduhan yang amat berat.
“Tetapi, biarpun dilemparkan penghinaan sebegitu, saya tetap menganggap Tun Mahathir kawan saya. Biar Tun Mahathir tidak mahu kawan dengan saya, saya tetap hormat dia (Tun Mahathir). Saya tetap mengganggapnya sebagai negarawan terbilang,”katanya pada sidang media di pejabat Perkasa di sini, hari ini.
Menjawab tuduhan yang dilemparkan berkaitan keengganannya untuk menyertai Bersatu, beliau berkata, perkara itu disebabkan prinsip perjuangannya, beliau tidak sanggup untuk bekerjasama dengan DAP.
Beliau berharap Tun Mahathir dapat menerima dan menghormati prinsip perjuangannya menentang DAP sedari dahulu bahkan sejak zaman pemerintahan Tun Mahathir lagi.
“Selama 8 tahun saya bertungkus lumus dan tak pernah berkompromi tentang prinsip menentang (doktrin yang dibawa DAP), sampai hati Tun Mahathir tuduh saya (bersekongkol dengan Datuk Seri Najib Tun Razak). Saya dua tahun pun tak pernah berjumpa dengan dia (Najib).
“Kenapa ramai yang mahu sibuk dengan Perkasa? Apabila saya tak setuju (sertai Bersatu), Ganyang saya teruk-teruk. Saya bina Perkasa dengan airmata. Sekarang nak guna Perkasa. Inilah budaya politik di Malaysia,”katanya.
Terdahulu, Tun Mahathir berkata, beliau malu berhubung tindakan Presiden Persatuan Pribumi (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, kerana tidak mahu menyertai parti Bersatu.
Tun Mahathir berkata, hanya disebabkan DAP, Ibrahim tidak mahu menyertai parti itu, perkara ini secara tidak langsung dapat membantu kemenangan Najib pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14) akan datang.-SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW