NEW YORK – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam bersetuju membayar AS$25 juta (RM110 juta) bagi menyelesaikan tuntutan undang-undang membabitkan universiti beliau yang didakwa menipu pelajar.
Beberapa tuduhan yang dikemukakan oleh bekas pelajar Universiti Trump mendakwa, mereka terpedaya dengan cara pemasaran agresif pihak pengurusan institusi pengajian tinggi itu sedangkan program latihan yang ditawarkan tidak diiktiraf.
Menurut pertuduhan itu yang dikemukakan di New York dan California, pelajar terpaksa membayar sebanyak AS$35,000 (RM154,192.50) untuk mendaftar dalam program berkenaan dengan harapan mereka akan berjaya dalam bidang hartanah yang diajar oleh pakar terpilih.
Peguam yang mewakili Trump pula berkata, banyak pelajar lepasan universiti tersebut berjaya dalam program itu, tetapi mereka yang gagal perlu menyalahkan diri sendiri.
Namun, dalam keadaan bakal Presiden itu nampaknya mahu segera menyelesaikan perkara tersebut ketika beliau sedang membentuk Kabinet untuk ke White House, satu perjanjian telah dicapai.
Peguam Negeri New York, Eric Schneiderman berkata, pemberian pampasan oleh Trump ituadalah satu kemenangan besar kepada lebih 6,000 mangsa penipuan universiti tersebut.
“Saya gembira mengetahui setiap mangsa akan menerima ganti rugi dan Trump juga perlu membayar sebanyak AS$1 juta (RM4.4 juta) penalti kepada New York kerana melanggar undang-undang pendidikan negeri,” katanya.– AFP/Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW