loading...

Tekanan : Kanye West Masuk Hospital

NEW YORK – Penyanyi rap, Kanye West dimasukkan ke hospital kelmarin, menurut beberapa laporan berita, selepas beberapa hari dia berkelakuan pelik sehinggakan peminat dan penganalisis mempersoalkan kesihatan mentalnya.

 

 

Menurut saluran berita NBC News yang memetik sumber pihak berkuasa, West berada di bawah pemerhatian di sebuah hospital di Los Angeles selepas polis menerima panggilan supaya bertindak atas faktor ‘kebajikan perubatan’ petang kelmarin.

 

 

Terdahulu, promoter Live Nation mengumumkan pembatalan terhadap baki 21 konsert jelajah West, Saint Pablo di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

 

 

Live Nation menyatakan di laman Twitter bahawa mereka akan memulangkan wang pembelian tiket untuk baki konsert jelajah Saint Pablo untuk tahun ini. Siri konsert itu jadual diadakan di Orlando, Philadelphia, Washington, Boston, New York dan Toronto di Kanada.

 

 

Kelakuan pelik bintang rap itu bermula pada Khamis lalu di San Jose, California apabila West berhenti menyanyi dan merepek tentang isu politik selama sejam. Beliau menyatakan sokongannya kepada bakal Presiden AS, Donald Trump dan memarahi peminatnya.

 

 

Malah, dia hanya menyanyikan tiga buah lagu sebelum mengutuk Hillary Clinton, Jay-Z, Beyonce dan beberapa orang kenamaan lain.

 

 

“Ia satu dunia baharu, Hillary Clinton, ia adalah dunia baru. Perasaan rakyat penting. Tahukah apa perkara itu? Semua golongan kelas pertengahan di AS tidak berpuas hati dan mereka menunjukkan kepada anda apa yang mereka rasakan,” kata West.

 

 

Pada Ahad lalu, West, 39, membatalkan konsertnya yang dijadualkan di Los Angeles. Pada Oktober lalu pula , dia telah membatalkan konsert di New York selepas isterinya, personaliti media terkenal, Kim Kardashian dirompak di Paris. – dpa/Kosmo

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...