loading...

JAS Sahkan Pencemaran Air Di Selangor Bukan Berpunca Dari Kilang Di N. Sembilan

WISMA NEGERI – Laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengenai siasatan ke atas premis yang menyumbang pelepasan ke lembangan Langat susulan pencemaran bau air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mendapati ia bukannya berpunca daripada kilang-kilang di Nilai.

 

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, semalam.

 

Menurut beliau, laporan ketujuh JAS Negeri Sembilan itu jelas membuktikan tidak ada unsur pencemaran yang boleh mengaitkan ia berasal daripada kilang-kilang di sepanjang Kawasan Perindustrian Arab Malaysian di Nilai.

 

Bagaimanapun, disyaki terdapat satu kawasan yang mengalami tumpahan bahan kimia akibat daripada kemalangan di Lebuh Raya Plus dan perkara ini telah dikaji oleh Jabatan Kimia.

 

Menjurus keputusan laporan itu, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad berharap agar orang ramai tidak cepat melatah dan menuding jari mengatakan Kerajaan Negeri Sembilan langsung tidak ambil peduli dan tidak ambil tindakan terhadap pencemaran yang berlaku di LRA Semenyih.

 

Jelasnya, Negeri Sembilan sentiasa bekerjasama untuk mencari punca dan berusaha menyelesaikan masalah.

 

Malah, tuduhan itu tidak benar kerana pada hari pertama dilaporkan wujudnya pencemaran yang dikatakan bermula dari Negeri Sembilan, arahan telah dibuat kepada Jabatan Teknikal khususnya JAS Negeri Sembilan untuk memulakan tugas penyiasatan ke setiap premis kilang yang berhampiran.

 

Selain itu, setiap hari juga penyiasatan telah dilakukan di Sungai Buah dengan melakukan ujian makmal dan ujian secara manual, termasuk menghidu bau air.

 

Jelas beliau lagi, Kerajaan Negeri juga tidak pernah meletakkan asas perbezaan politik mengatasi pentadbiran umum. Malah, daripada rekod pentadbiran Kerajaan Negeri, kepentingan umum sentiasa menjadi keutamaan.

 

Menteri Besar juga meminta mana-mana pihak atau kementerian yang ada tenaga pakar supaya turut sama bekerjasama untuk menjalankan penyiasatan dan Kerajaan Negeri akan bekerjasama. Jika didapati berlaku kesalahan mengikut mana-mana enakmen, maka pihak berkenaan boleh didenda atau ditahan untuk dibawa ke muka pengadilan. – N9kini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...