loading...

Malindo Air Lancar Penerbangan Harian Ke Hanoi

Malindo Air meluaskan laluannya di Vietnam selepas Ho Chi Minh City, dengan melancarkan perkhidmatan harian dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Antarabangsa Noi Bai, Hanoi.

 

Peluasan itu adalah selari dengan pelan rangkaian antarabangsa syarikat penerbangan itu, menjadikan rangkaian laluan ke-40 destinasi di 13 negara.

 

Penerbangan 0D571 Malindo Air akan berlepas setiap hari dari KLIA pada 9.15 pagi dan tiba di Noi Bai pada 11.25 pagi waktu tempatan. Penerbangan balik berlepas dari Hanoi pada 12.15 tengah hari dan tiba di KLIA pada 4.35 petang.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy berkata kemasukan Malindo Air ke Vietnam sudah pasti menyumbang kepada sasaran Malaysia untuk menarik 36 juta pelawat antarbangsa menjelang 2020.

 

“Pada 2014, terdapat kira-kira 286,000 pelawat Vietnam tiba di Malaysia untuk urusan perniagaan, percutian atau melawat rakan dan saudara-mara. Tahun lepas, jumlah ketibaan mencatatkan kenaikan 6.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan Khamis.

 

Beliau berkata syarikat penerbangan itu mahu bekerja lebih rapat dengan Tourism Malaysia dan ejen pelancongan Vietnam bagi menyediakan pakej-pakej promosi dan pakej membeli-belah.

 

“Rancangan kami adalah selari dengan strategi Tourism Malaysia untuk meningkatkan ketibaan dari Vietnam menerusi pelancongan kesihatan, pelancongan MICE selain meningkatkan kekerapan,” katanya.

 

Tambang promosi untuk laluan baharu Kuala Lumpur-Hanoi bermula daripada RM209 untuk Kelas Ekonomi dan RM1,109 untuk Kelas Perniagaan sehala, termasuk semua.

 

Tambang itu termasuk peruntukan bagasi percuma, hiburan dalam penerbangan dan hidangan makanan.-Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...