loading...

Tamrin Ghafar Umum Keluar Deklarasi Rakyat, Tak Sertai Parti Bersatu

KUALA LUMPUR – Dato’ Mohd Tamrin, anak lelaki bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba hari ini membuat kejutan apabila mengumumkan keputusan menarik diri dari terus menjadi seketariat Deklarasi Rakyat.

 

Dalam kenyataan ringkas itu, Tamrin juga mengumumkan pendiriannya untuk tidak menyertai parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

“Sukacita dimaklumkan setelah memikir dengan teliti, maka saya memutuskan tidak akan menyertai parti baru yang sedang diusahakan Muhyiddin.

 

“Menarik diri dari seketariat Deklarasi Rakyat yang diketuai Tun Mahathir. Keputusan ini adalah muktamad. Ia berkuatkuasa mulai hari ini,” kata Tamrin.

 

Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam itu sebelum ini pernah menganggotai PAS pada 2012 selepas keluar dari UMNO.

 

Beliau bagaimanapun bertindak keluar PAS dua tahun kemudian berikutan tidak puas hati pendirian PAS dalam isu perebutan jawatan Menteri Besar Selangor.

 

Pada Mac lepas, Tamrin bersama beberapa pemimpin pembangkang lain berkesempatan menemui Dr Mahathir memberi sokongan sebelum bekas Perdana Menteri itu mengumumkan keputusan keluar dari UMNO.

 

Dalam pertemuan itu Dr Mahathir menjelaskan pendiriannya menolak sebarang cadangan menubuhkan parti baharu selepas keluar UMNO kerana negara ini sudah mempunyai terlalu banyak parti.

 

“Tidak payah, kita sudah terlalu banyak parti.

 

“Umno berpecah hasilkan PAS, kemudian Tengku Razaleigh Hamzah keluar Umno bentuk Semangat 46, Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar tubuhkan PKR, PAS berpecah lahirkan Amanah.

 

“Kita besar tetapi tidak kuat,” demikian kata Dr Mahathir kepada Tamrin dan rombongannya ketika itu. – SuaraTV



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...