‘SENAK perut’ banyak pihak dengan kerenah yang ditunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Tak pasal-pasal dilontarkan ‘idea lawak’ untuk diadakan satu pilihan raya di negeri itu. Iaitu hanya semata-mata untuk menguji sentimen rakyat terhadap dirinya.
Banyak pihak menyarankan Guan Eng menghadapi sahaja tuduhan rasuahnya dengan berani dan yakin.
Walaupun pilihan raya negeri Pulau Pinang itu tidak menjadi kenyataan kerana DAP dikatakan ‘gagal mendapat persetujuan’ PKR, namun suatu yang perlu diakui Guan Eng adalah rakyat negerinya tidak berkehendakkan pun satu pilihan raya atau referendum untuk menyelamatkan ‘tengkuknya’.
Adakah selama beberapa minggu ini, dia cuba menguji sokongan penduduk Pulau Pinang, tetapi setelah tidak laku, akhirnya mengakui pula yang pengerusi DAP, Chow Kon Yeow layak memikul tugas Ketua Menteri? Tetapi keesokannya membatalkan cadangan pilihan raya negeri itu.
Inilah ‘tak tahu menari, dikatakan lantai jongkang-jongket’. Gagal merealisasikan pilihan raya negeri, salahkan orang lain pula. Mencari-cari alasan untuk menutupi kekurangan atau kebodohan diri sendiri.
Guan Eng barang kali sedar andai diadakan pilihan raya sekalipun, usaha DAP untuk ‘memancing’ sokongan daripada beberapa bekas pemimpin kanan UMNO termasuk seorang negarawan, agak sukar. Ini berikutan fokus mereka lebih terarah kepada Pilihan Raya Umum ke-14.
Bagi sesiapa yang diajukan tentang pilihan raya Pulau Pinang, pasti akan menolak tindakan bodoh itu. Rakyat sudah melihat kesan ‘langkah Kajang’ yang cuba ‘menjayakan’ impian Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail untuk menjadi Menteri Besar. Bukan sahaja membazir, bahkan menjadi buah mulut hanya untuk kepentingan peribadi, yang akhirnya tidak kesampaian.
Lagipun untuk menghabiskan lebih RM100 juta demi menjayakan satu pilihan raya negeri dalam tempoh yang tidak memerlukan, adalah perbuatan yang tidak masuk akal. Adakah andai menang DAP, Guan Eng tidak perlu ke mahkamah lagi?
Kalau benarlah DAP mahu menaikkan reputasinya, parti itu hanya perlu buat satu perkara ini sahaja – harus menyegerakan mesyuarat tergempar untuk mencutikan Guan Eng atau mengarahkan meletak jawatan.
Apa lagi agaknya selepas ini yang ‘dirancang’ Guan Eng? – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW