loading...

Mastika Kekal Rekod Majalah No. 1, Paling Tua Di Malaysia

KUALA LUMPUR – Pernah “hidup segan mati tak mahu” dan hampir di’kubur’kan tetapi itu situasi kira-kira lebih 20 tahun lepas. Industri penerbitan majalah ketika itu boleh dikatakan sedang ‘nazak’, banyak majalah yang terpaksa ‘gulung tikar’!

 
Namun berkat kesungguhan pasukan yang sanggup memikul tanggungjawab untuk menghidupkan semula majalah bulanan yang bernama ‘Mastika’ ini, ia terus bertahan hingga ke hari ini.

 

Bertambah membanggakan pada 1 Jun 2016, genap usia Mastika 75 tahun!

 

Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu, Datuk (sekarang Tan Sri) Johan Jaaffar (Nov 1992-Julai 1998) pada pertengahan tahun 1995 berkira-kira mahu menghentikan penerbitan Mastika kerana jumlah jualan majalah itu hanya sekitar 6,000 naskhah sahaja.

 

Ura-ura Johan mahu tutup Mastika memeranjatkan Zainol Fakir yang pada masa itu Pengarang Bahagian Pendidikan dan Penyelaras Mastika.

 

“Zainol yang agak terkejut apabila diberitahu perkara itu lantas minta diberi peluang untuk cuba menyelamatkan majalah itu.

 

“Zainol bawa team dia termasuk (Allahyarham) Munir Ghazali untuk selamatkan Mastika. Antara perubahan yang dibuat ialah menjadikan saiz Mastika seperti Reader’s Digest,” Zulkarnain Zakaria (penolong pengarang Mastika 1996; pengarang Mastika 2005-2009) berkongsi kisah kebangkitan majalah paling tua di Malaysia di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

 

Zainol menyandang jawatan pengarang Mastika dari 1995 hingga 1998 sebelum tugas memperkasakan Mastika diambil alih Munir Ghazali (1999-2004) dan kemudiannya, Zulkarnain.

 

Isu pertama Mastika (September 1995) di bawah kelolaan Zainol menampilkan imej baru bersaiz ala-Reader’s Digest. Isi kandungannya memaparkan isu yang mengandungi ilmu pengetahuan di samping cerita-cerita kemanusiaan.
Melegakan! Edisi September 1995 itu mencatat jualan sekitar 12,000 iaitu meningkat sekali ganda berbanding angka jualan sebelum itu.

 

Bukan sahaja Zainol dan pasukannya menarik nafas lega, Johan juga bertambah-tambah syukurnya dan menyifatkan Zainol dan Munir sebagai pasukan impian untuk Mastika.

 

Kepimpinan Zainol turut dilihat sebagai gelombang pertama untuk kebangkitan Mastika.

 

Apabila Zulkarnain menyertai pasukan Mastika sebagai penolong pengarang pada September 1996, beliau banyak memberi ‘suntikan baru’ daripada segi bahan penulisan untuk majalah itu.

 

Graduan Persuratan Melayu (pengkhususan sains sosial) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sudah mempunyai perancangannya sendiri untuk menaikkan martabat Mastika.

 

Perkara ini diakui

sendiri Sahidan Jaafar yang menyertai pasukan Mastika pada Mei 1997. Beliau menyandang jawatan pengarang Mastika pada 2010 hingga 2015.

 

Isi kandungan Mastika mengalami perubahan drastik. Sebahagian besarnya kerana hasil penulisan Zulkarnain yang memilih penulisan berbentuk naratif dengan isu yang belum pernah diberi liputan sebelum ini.

 

Dari hanya sekitar 6,000 pada pertengahan 1995, jualan Mastika mencecah hingga 320,000 pada Jan 2000! Ini boleh dianggap gelombang kedua kebangkitan Mastika.

 

Zulkarnain menyifatkan tempoh kenaikan jualan Mastika yang melambung tinggi itu sebagai “zaman emas” yang terlalu sukar untuk dicapai lagi.

 

Meskipun jualan Mastika terjejas pada tahun-tahun berikutnya hinggalah ke hari ini, ia masih dapat bertahan berbanding majalah lain, yang sebahagiannya terpaksa dihentikan penerbitannya.

 

“Mastika menyediakan apa yang pembaca minat dan hendak baca. Walau siapa pun pengarang, Mastika senantiasa peka dengan perkembangan dan kehendak pembaca.

 

Bagaimanapun, pihak Mastika akan pastikan sama ada ia sesuai untuk disiarkan,” kata Zulkarnain sambil menambah Mastika kini diterbitkan oleh Utusan Karya Sdn. Bhd., iaitu anak Syarikat Kumpulan Utusan, selepas ia ditubuhkan pada Oktober 2003.

 

Menurut Zulkarnain dan Sahidan, meskipun mereka berdua tidak lagi terlibat secara langsung dengan Mastika, mereka berdua masih memberikan perhatian berat kepada majalah ini.

 

Sesiapa sahaja yang ditugaskan untuk menerajui Mastika diminta menjadikan zaman emas Mastika sebagai panduan dan tanda aras meskipun sukar untuk melakukan keajaiban itu.

 

“Itu tak bermakna kepimpinan baru Mastika gagal. Mastika kini berada dalam zaman yang berbeza. Banyak faktor penghalang. Masa kami, belum ada internet dan media sosial. Kita letak apa sahaja, orang beli sebab tak ada pilihan.

 

“Kami juga bertuah kerana bekerja dengan orang-orang hebat seperti Datuk Johan, Datuk Khalid Mohd., Zainol Fakir, Munir Ghazali, Zulkarnain, Azizah Ismail,” celah Sahidan.

 

Apa pun, Zulkarnain (kini menyandang jawatan pengarang kanan bahagian majalah) dan Sahidan (penulis khas) yakin Mastika dapat kekal sebagai majalah paling tua dan nombor satu di Malaysia.

 

“Kita pegang rekod majalah tertua dan tertinggi edarannya di negara ini, takkan nak tutup. Ia suatu rekod yang sangat hebat dalam sejarah industri majalah tanahair. Kami akan perkukuhkan dan pertahankan Mastika sampai bila-bila insya-Allah,” tegas Zulkarnain. – Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...