JAKARTA – INDONESIA. Sebuah syarikat penerbangan didakwa tidak pernah menawarkan jawatan tetap kepada juruterbang di Indonesia sebaliknya diikat secara kontrak untuk suatu jangka masa panjang.
Perkara itu didedahkan seorang juruterbang yang dipecat, Mario Hasiholan, hari ini.
Beliau mendakwa, jika seseorang itu menarik diri daripada kontrak yang telah dipersetujui, juruterbang itu akan dikenakan denda sehingga Rp7 juta (RM 2,154.46).
Difahamkan, Mario dipecat setelah enggan melakukan penerbangan pada 10 Mei lalu, lapor Kompas.com.
Kata Mario, dia bersama rakan-rakannya yang lain melakukan protes tersebut kerana tidak tahan dengan layanan syarikat itu terhadap mereka.
“Tidak pernah ada yang bekerja secara tetap. Status kami adalah pegawai kontrak dengan jangka masa kontrak yang diikat terlalu lama iaitu 5 hingga 20 tahun,” dakwanya lagi.
Mario sendiri dikatakan telah menandatangan kontrak tahun lepas yang mengikat khidmatnya sehingga Ogos 2033.
Jelas Mario lagi, sekiranya mereka enggan menandatangani kontrak kerja, mereka akan dikehendaki membayar semula pembiayaan pendidikan syarikat tersebut yang nilainya mencecah AS$715,339 (RM2.9 juta).
“Jadi jelas kontrak ini adalah satu jerat. Kenapa kami harus tandatangan (kontrak)?” soalnya.
Kira-kira 14 juruterbang dipecat daripada syarikat terbabit susulan enggan melakukan penerbangan pada 10 Mei lalu.
Mario dan rakan-rakannya dituduh menghasut dan mencemarkan nama baik syarikat tersebut.-Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW