KUALA TERENGGANU – Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) membantah cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk mengkomersialkan ketum memandangkan tanaman itu berisiko mendatangkan kemudaratan yang sama seperti bahaya dadah.
Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, semua sedia maklum bahawa penggunaan daun ketum lebih banyak memberi kesan negatif dan kemudaratan berbanding manfaat yang diperoleh.
Oleh itu, pihaknya mencadangkan agar pihak berkenaan, terutama Kementerian Kesihatan mengkaji dengan teliti bagi membolehkannya diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya.
“Kita (Gagasan) tetap tidak bersetuju dengan pandangan pihak Risda mengenai perkara ini kerana ketum tidak beri banyak manfaat dan kebaikan pun.
“Malah kita juga tahu ketum diletakkan di bawah Akta Racun 52 iaitu sebagai bahan kawalan. Jadi, adalah satu kesalahan apabila menggunakannya, banyak sangat negatifnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Risda agar pekebun kecil di negara ini diberi kebenaran menanam daun ketum untuk dieksport ke luar negara bagi membantu meningkatkan pendapatan, selain mengurangkan kebergantungan terhadap getah.
Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan berbincang dengan kerajaan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Syed Anuar berkata, Kementerian Kesihatan perlu membuat kajian terperinci sebelum bersetuju dengan pandangan untuk mengkomersialkan daun ketum tersebut.
“Cadangan itu pelik, kita bimbang jika dapat kelulusan kerajaan nanti, penggunaan daun ketum secara tidak terkawal akan memberi lebih banyak kesan negatif, sekali gus merosakkan masa depan para pelajar dan golongan muda di negara ini,” katanya.-Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW