Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim
KUALA KANGSAR – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussin menyifatkan pencalonan daripada tiga atau empat penjuru di Pilihan Raya Kecil (PRK) P.067 Kuala Kangsar tidak menjadi perkiraan bagi Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, apa yang paling penting kemenangan berpihak kepada parti itu.
“Ia tidak menjadi perkiraan kita, tiga atau empat penjuru. Yang penting calon kita menang,”katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Petugas PDM Bukit Chandan di Pusat Operasi BN, di sini, malam tadi.
Hishammuddin turut menaruh kepercayaan bahawa calon BN PRK Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, mampu meneruskan legasi arwah suaminya yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
“Saya akan beri jaminan sebagai Naib Presiden untuk membantu Datuk Zambry Abdul Kadir, (Pengarah PRK Kuala Kangsar) dan jentera kita.
“Saya percaya, Datin Mastura boleh meneruskan legasi dan perjuangan Allahyarham, kerana mereka bukan sahaja memahami apa sahaja pegangan arwah tetapi lebih daripada itu. Lagipula kerana Datin Mastura lebih dikenali di Kuala Kangsar ini. Jadi saya harap bahawa suasana atau ‘mood’ sebegini akan berterusan sehingga tarikh pembuangan undi nanti,”ujarnya.-SuaraTV