loading...

Tuhan Beri Kemenangan Kepada Orang Yang Bersabar – PM

PASIR PUTEH – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kesal dengan pelbagai tuduhan tidak berasas dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

 

Namun, katanya, beliau mengambil sikap bersabar kerana tuduhan itu dibuat ketika umat Islam menjalani ibadah Ramadan.

 

“Mungkin orang sabar ini, Tuhan berikan kemenangan kepadanya. Puasa ini bukan sahaja tahan lapar, tapi mulut pun kena tahan juga,” katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Berbuka Puasa di Kompleks UMNO Uthmaniyah, di sini, kelmarin.

 

Majlis itu, yang dihadiri kira-kira 10,000 orang, turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yakub dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Tan Sri Annuar Musa.

 

Pada majlis itu, Najib yang mewakili Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut menyampaikan surat tawaran menunaikan haji kepada 14 Ketua UMNO Bahagian di Kelantan.

 

Dalam pada itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kemenangan besar BN jelas menunjukkan pembangkang kini dalam keadaan bercelaru kerana gagal menunjukkan perpaduan.

 

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkempen, kedua-dua parti pembangkang yang bertanding iaitu PAS dan Parti Amanah Negara saling menyerang satu sama lain.

 

“PAS tembak PAN (Parti Amanah Negara), PAN pula tembak PAS. Mereka tak nampak (menyerang) BN,” katanya. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...