KUALA KANGSAR – PRK kawasan Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, AMANAH dan Bebas.
Mereka ialah Datin Mastura Mohd Yazid daripada BN, Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua AMANAH kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Nama empat calon itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria.
Beliau berkata sebanyak empat kertas pencalonan diterima semasa proses penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi ini di Dewan Jubli Perak di sini.
“Saya menyemak dan (selepas) selesai disemak, saya berpuas hati, tiada kertas pencalonan ditolak,” katanya ketika mengumumkan senarai calon PRK itu pada kira-kira 11 pagi.
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. — BERNAMA