SUNGAI BESAR – Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard menyifatkan kehadiran Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kekalahan Parti Amanah Negara (PAN) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Menurut beliau, gara-gara tindakan Tun M itu, beliau mengelarkan Tun M sebagai bapa kezaliman ekoran daripada tindakan beliau yang mensabotaj parti pembangkang.
“Mahu akui atau tidak, Mahathir bapa kezaliman dan bapa perkauman negara telah sedikit sebanyak menjauhkan undi bukan Melayu juga.
“Tinggalkan Mahathir bina kekuatan pakatan harapan, selesaikan house keeping seperti satu logo dan selesaikan isu PAS dalam kerajaan negeri Selangor.
“Jika tidak maka ucapkan selamat tinggal kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.
Keputusan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang dimumkan SPR malam tadi menyaksikan BN mengekalkan kemenangan di kedua-dua kawasan dengan majoriti yang lebih tinggi.
Jelasnya lagi, beliau berasa sangat sedih apabila penyokong pakatan pembangkang kini melupakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlantar sakit dan hanya memfokuskan pada Tun Mahathir.
“Sedih bila fikirkan kawan-kawan yang sebarkan surat terbuka Mahathir pada pengundi dengan melupakan Anwar (yang) sedang kesakitan di hospital.
“Dua surat panjang Anwar tidak bermakna lagi pada mereka nampaknya malah pegawai Azmin yang juga bekas SU Media Anwar membalas surat panjang itu dengan mengatakan Anwar sama seperti Hamlet gila,” katanya.
Tambah beliau lagi, sungguhpun kehadiran Tun M dapat menarik undi baru, namun sejumlah undi lama telah tawar hati dan tidak menyokong parti Amanah namun memberikan sedikit kelebihan kepada PAS.
“Seperti yang diperkatakan sama ada nak akui atau tidak kehadiran Mahathir di kawasan PRK mungkin menarik sikit undi baru tetapi menjauhkan banyak undi lama.
“PAS secara tidak langsung meraih keuntungan sedikit dari kehadiran Mahathir ini,” ujarnya. – SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW